Hampir 24,000 transaksi direkod pada hari pertama akses awal BUDI Diesel

Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Hampir 24,000 transaksi direkodkan pada hari pertama pelaksanaan akses awal BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) membabitkan pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung.

RINGKASAN BERITA AI
  • Akses awal BUDI Diesel dilaksanakan sebagai persediaan pelaksanaan penuh mulai 1 Julai, harga diesel subsidi RM2.10 seliter melalui MyKad.
  • Subsidi untuk kenderaan persendirian disalurkan melalui MyKad; had asas 200 liter sebulan, pikap dan jip layak tambahan 100 liter sehingga 300 liter.
  • KPDN meneruskan subsidi untuk sektor komersial melalui SKDS; kerajaan bekerjasama negeri agensi untuk memuktamadkan data pengguna luar bandar dan memantau pelaksanaan.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, transaksi itu membabitkan pembelian hampir satu juta liter diesel bersubsidi bernilai RM2.1 juta pada harga RM2.15 seliter.

Menurut kementerian itu, pelaksanaan akses awal berkenaan merupakan persediaan sebelum pelaksanaan penuh BUDI Diesel di seluruh negara bermula 1 Julai ini.

“Mulai tarikh berkenaan, warganegara yang layak boleh membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter di seluruh negara menggunakan MyKad.”

Bagi pemilik kenderaan diesel persendirian, subsidi disalurkan melalui BUDI Diesel menggunakan MyKad dengan had kelayakan asas sebanyak 200 liter sebulan.

Pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang menggunakan kenderaan itu untuk perjalanan harian, urusan kerja serta pergerakan ke kawasan pedalaman boleh memohon tambahan kuota sebanyak 100 liter sebulan, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan.

Sehingga pukul 11 pagi tadi, portal rasmi BUDI MADANI menerima lebih 13,000 permohonan baharu bagi tambahan kuota 100 liter sebulan daripada pemilik pikap dan jip yang layak.

Bagi sektor pengangkutan awam, logistik dan kenderaan komersial yang layak, subsidi diesel terus disalurkan menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengikut kategori serta keperluan operasi masing-masing.

Menurut MOF, KPDN turut menyelaras pelaksanaan subsidi bagi kenderaan persendirian milik syarikat jenis pikap dan jip yang layak, selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 26 Jun lalu.

Kerajaan Persekutuan turut bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi memuktamadkan data kumpulan pengguna lain yang bergantung kepada diesel, khususnya di kawasan luar bandar, pedalaman dan laluan sungai supaya tiada golongan yang memerlukan tercicir daripada bantuan subsidi.

MOF memaklumkan kerajaan akan terus memantau pelaksanaan akses awal BUDI Diesel serta menambah baik mekanisme itu berdasarkan maklum balas rakyat dan industri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.