Tambang percuma LRT3, bas perantara selama sebulan bermula esok

Datuk Seri Anwar umum tambang percuma LRT3 selama sebulan/Foto RTM

KLANG, 28 Jun – Tambang percuma selama sebulan bagi Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam dan bas-bas perantara di sepanjang laluan itu akan diberikan kepada orang ramai bermula esok hingga 31 Julai ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif galakkan penggunaan pengangkutan awam untuk mengurangkan kesesakan, masa perjalanan, penggunaan minyak dan pelepasan karbon.
  • Perdana Menteri merasmikan Projek LRT3 di Depoh Johan Setia.
  • Perdana Menteri turut menaiki tren dari Stesen Sri Andalas ke Stesen Johan Setia.
  • Laluan Shah Alam LRT3 sepanjang 37.8 kilometer siap sepenuhnya, merangkumi 20 stesen dan dijangka manfaat kira-kira dua juta penduduk.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu bertujuan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di koridor berkenaan yang merupakan antara laluan paling sibuk di negara ini.

Menurut beliau, kesesakan bukan sahaja menyebabkan pengguna jalan raya kehilangan masa, malah meningkatkan penggunaan bahan api serta pelepasan karbon yang memberi kesan kepada alam sekitar.

“Bermula esok, 29 Jun hingga 31 Julai, tambang perkhidmatan Laluan Shah Alam dan bas-bas perantara di sepanjang laluan ini diberikan secara percuma.

“Kita berharap lebih ramai menggunakan pengangkutan awam kerana kesesakan membawa beban besar kepada rakyat dari segi masa perjalanan, penggunaan minyak serta pelepasan karbon yang menjejaskan ekosistem dan persekitaran negara.”

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Projek LRT3 Laluan Shah Alam di Depoh Johan Setia, di sini.

Perdana Menteri berkata, inisiatif tambang percuma itu merupakan hasil usaha Kementerian Pengangkutan bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati kemudahan pengangkutan awam.

Terdahulu, beliau meluangkan masa menaiki tren LRT3 Laluan Shah Alam dari Stesen Sri Andalas ke Stesen Johan Setia.

Projek LRT3 Laluan Shah Alam yang menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia sepanjang 37.8 kilometer kini siap sepenuhnya dan sedia beroperasi.

Laluan yang merangkumi 20 stesen baharu itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira dua juta penduduk di sepanjang jajaran berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.