Peranan bapa perlu terus diperkukuh bentuk keluarga sejahtera

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Lim Hui Ying (empat kiri) menyampaikan Anugerah Khas Inspirasi Bapa/Foto BERNAMA

CYBERJAYA, 28 Jun – Peranan bapa sebagai pelindung, pendidik dan pembimbing keluarga perlu terus diperkukuh bagi membentuk generasi berakhlak serta bebas daripada gejala sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPWKM memperkukuh agenda pemerkasaan bapa melalui Modul Kebapaan 2025 dan Jaringan Pemerkasaan Lelaki (MEN).
  • Inisiatif meningkatkan kemahiran keibubapaan, komunikasi dan kesejahteraan mental demi keluarga lebih kukuh.
  • Kerajaan MADANI menjadikan institusi keluarga sebagai asas kekuatan negara dan selaras dengan Dasar Kasih Keluarga Negara.
  • Anugerah Khas Inspirasi Bapa diberi sebagai penghargaan, diharap memberi semangat kepada golongan muda menyumbang kepada masyarakat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, kementeriannya memperkukuh agenda pemerkasaan bapa menerusi Modul Kebapaan 2025 dan Jaringan Pemerkasaan Lelaki (MEN).

Menurut beliau, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kemahiran keibubapaan, komunikasi serta kesejahteraan mental demi melahirkan keluarga yang lebih kukuh dan sejahtera.

“Kerajaan MADANI sentiasa meletakkan institusi keluarga sebagai asas kekuatan negara.

“Selaras dengan aspirasi Dasar Kasih Keluarga Negara dan Agenda Nasional Kasih Keluarga Negara, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus memperkukuh agenda pemerkasaan keluarga dengan mengangkat keluarga sebagai institusi terpenting dalam pembinaan masyarakat dan negara.”

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2026 bertemakan “Sehebat KASIH Bapa”, di sini.

Pada majlis sama, Anugerah Khas Inspirasi Bapa disampaikan sebagai penghargaan kepada individu yang menunjukkan pengorbanan dan komitmen luar biasa dalam membesarkan anak-anak.

Salah seorang penerima, Mohd Azhan Mohd Adnan berharap pengiktirafan itu menjadi pencetus semangat kepada golongan muda untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

Selain Mohd Azhan, turut menerima Anugerah Khas Inspirasi Bapa ialah Mohd Adli Yahya dan Mohd Yusof Mohd Noor.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.