Raja Muda Kedah titah pemodenan Askar Wataniah diperkasa

Raja Muda Kedah ketika meninjau pameran bersempena Majlis Pelancaran Latihan Rejimen 513 Askar Wataniah Tahun 2026 di Alor Setar/Foto RTM

ALOR SETAR, 28 Jun – Pemodenan Askar Wataniah perlu dilaksanakan dengan meningkatkan keupayaan dalam semua bidang kepakaran serta penggunaan teknologi terkini sebagai perancangan masa depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemutakhiran proses pengambilan bagi menarik lebih ramai profesional dan warganegara tanpa mengira latar belakang.
  • Peranan Askar Wataniah bukan terhad kepada infantri; mewujudkan kepakaran air, kereta api, telekomunikasi, pelabuhan, pembinaan, medan, serta siber dan perubatan.
  • Anggota mesti tingkatkan kesiapsiagaan, disiplin, integriti dan profesionalisme; manfaatkan latihan sepenuhnya untuk kukuhkan kemahiran, kompetensi dan keyakinan.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah, proses pengambilan Askar Wataniah juga perlu ditambah baik agar lebih ramai golongan profesional dan warganegara dapat menyertai pasukan itu tanpa mengira latar belakang.

“Peranan Askar Wataniah bukanlah tertumpu kepada penugasan pasukan infantri sahaja, malah turut melibatkan elemen kepakaran.”

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pelancaran Latihan Rejimen 513 Askar Wataniah Tahun 2026 di Dataran Medan Bandar, di sini.

Titah Baginda, antara kepakaran yang diwujudkan ialah Rejimen Askar Wataniah pakar air, kereta api, telekomunikasi, pengendali pelabuhan, skuadron pembinaan dan pasukan medan.

Ini termasuk kepakaran siber dan perubatan yang sedang dirancang untuk ditubuhkan.

Dalam perkembangan sama, Baginda mengingatkan setiap anggota supaya sentiasa meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan keupayaan, di samping memelihara disiplin, menjunjung integriti serta mempamerkan profesionalisme yang tinggi bagi menjaga imej pasukan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan negara.

Justeru, Baginda bertitah setiap latihan hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh kemahiran, meningkatkan kompetensi dan membina keyakinan dalam menghadapi pelbagai situasi.

Terdahulu, majlis pelancaran itu turut melibatkan acara perbarisan tempur, pentomin, perbarisan formasi pergerakan manusia, sajak Perwira Wataniah serta pameran agensi kerajaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.