
PUTRAJAYA, 27 Jun– Pengguna yang layak di Semenanjung Malaysia mula menikmati subsidi bawah BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) menerusi fasa rintis yang bermula hari ini.
- Harga rintis diesel subsidi RM2.15 seliter; kadar rasmi RM2.10 seliter berkuat kuasa 1 Julai.
- Ujian kesiapsiagaan tumpu MyKad, aplikasi digital, kecekapan petugas dan pengalaman pelanggan untuk pelaksanaan selamat dan lancar.
- Sepuluh syarikat minyak melibatkan 4,146 stesen komited menyokong pelaksanaan penuh BUDI Diesel bermula 1 Julai.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, fasa rintis itu memberi peluang kepada kerajaan dan syarikat minyak menguji kesiapsiagaan sistem sebelum pelaksanaan penuh 1 Julai nanti.
“Bermula hari ini BUDI Diesel dilaksanakan secara rintis untuk memberikan akses awal kepada pengguna yang layak di Semenanjung Malaysia.
Mereka boleh membeli diesel pada harga RM2.15 seliter dan bermula 1 Julai nanti, kadar BUDI Diesel yang diumumkan iaitu RM2.10 seliter akan berkuat kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kesiapsiagaan pelaksanaan BUDI Diesel di sebuah stesen minyak, di sini.
Tinjauan berkenaan memberi tumpuan kepada kestabilan sistem pengesahan MyKad dan aplikasi digital syarikat minyak, selain kecekapan petugas serta pengalaman pelanggan.
“Kita mahu semua syarikat minyak memastikan pengguna mendapat akses kepada subsidi kerajaan dengan selamat, lancar dan efisien.
“Bukan sahaja sistemnya cekap, tetapi aspek pengalaman pelanggan juga perlu diberi perhatian,” katanya.
Ujar Datuk Armizan, sebanyak 10 syarikat minyak membabitkan 4,146 stesen di seluruh negara telah menyatakan komitmen dan berada pada tahap kesiapsiagaan untuk melaksanakan BUDI Diesel sepenuhnya mulai 1 Julai.
Pengguna yang layak boleh menggunakan MyKad atau aplikasi digital syarikat minyak yang mengambil bahagian bagi menikmati subsidi berkenaan.
Sementara itu, pelaksanaan BUDI Diesel turut disambut baik pengguna yang menyifatkan langkah itu mampu mengurangkan beban kos harian, khususnya mereka yang bergantung kepada diesel untuk urusan kerja dan kehidupan.
Seorang pengguna, Ahmad Aidil Zamani berkata, penurunan harga diesel bersubsidi membuktikan kerajaan mendengar keluhan rakyat.
Inisiatif itu disifatkan penting, terutama kepada pemandu yang terkesan dengan kenaikan kos sebelum ini.
“Bersyukur sangat kepada kerajaan kerana prihatin terhadap kami.
Apabila harga diesel diturunkan, ia benar-benar membantu dan kami rasa suara kami didengari,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Aliff Syahmi Mustafa menyifatkan, subsidi itu memberi kelegaan kepada pengguna diesel kerana dapat mengurangkan beban perbelanjaan harian.
“Kalau dibandingkan dahulu dengan sekarang, memang banyak memudahkan kehidupan kami sebagai pengguna diesel,” katanya.
Zainal Ikram Zainal Abidin pula berharap, penurunan harga diesel bersubsidi turut membawa kepada pengurangan kos perkhidmatan dan membantu merancakkan ekonomi.
“Kalau kos penggunaan diesel turun, saya harap harga perkhidmatan juga dapat diturunkan.
Secara tidak langsung ia akan memberi impak positif kepada ekonomi,” ujarnya.