
PUTRAJAYA, 27 Jun– Masih terdapat syarikat pengangkutan awam dan barangan yang layak menikmati subsidi diesel tetapi belum mendaftar bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
- Menteri menggesa syarikat layak mendaftar segera untuk menikmati subsidi diesel.
- Kerajaan beri kelonggaran tuntutan balik subsidi untuk permohonan sebelum tarikh akhir walaupun fleet card belum dikeluarkan.
- Sabah dan Sarawak masih terdapat syarikat layak yang belum mendaftar SKDS.
- Daftar segera untuk terus menikmati subsidi apabila pelaksanaan penuh BUDI MADANI Diesel bermula 1 Julai.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan, berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), terdapat syarikat yang belum mengemukakan permohonan, terutama di Sabah dan Sarawak.
“Kepada semua syarikat yang layak, termasuk pengangkutan awam, daftarlah segera untuk memanfaatkan subsidi ini.
Di Sabah dan Sarawak, masih ada syarikat yang belum mendaftar dalam SKDS kerana sebelum ini perbezaan harga diesel tidak begitu ketara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Turun Padang sempena pelaksanaan BUDI MADANI Diesel di sebuah stesen minyak, di sini.
Menurut Datuk Armizan, syarikat yang mengemukakan permohonan bawah SKDS selewat-lewatnya pada 30 Jun masih layak membuat tuntutan bayaran balik subsidi diesel sementara menunggu pengeluaran fleet card.
“Walaupun belum mendapat fleet card, mereka masih boleh membuat tuntutan bayaran balik.
Tetapi mereka yang memohon hanya selepas 30 Jun tidak layak menerima bayaran balik kerana peringatan telah diberikan berkali-kali sebelum ini,” katanya.
Sehubungan itu, Datuk Armizan menggesa semua syarikat yang memenuhi syarat supaya segera mendaftar bagi memastikan mereka terus menikmati subsidi diesel apabila pelaksanaan penuh BUDI MADANI Diesel bermula 1 Julai ini.