
PUTRAJAYA, 27 Jun – Kerajaan akan menyemak semula kuota tetap diesel bagi kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dengan mengambil kira beberapa faktor teknikal bagi memastikan agihan subsidi lebih tepat dan bersesuaian dengan kos operasi sebenar.
- Jemaah Menteri bersetuju selepas mengambil maklum balas pemain industri.
- Pelarasan kuota akan mengambil kira faktor teknikal seperti BDM, kapasiti enjin, kategori lori, penggunaan bahan api dan pola operasi.
- KPDN akan bekerjasama dengan MOF dan JPJ untuk memuktamadkan mekanisme dan sasar pelaksanaan selewat-lewatnya awal Ogos.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata keputusan itu dipersetujui Jemaah Menteri selepas mengambil kira maklum balas daripada pemain industri.
Beliau berkata semakan itu tidak lagi hanya berdasarkan purata penggunaan bahan api mengikut kategori kenderaan seperti sebelum ini.
“Kita membuat pelarasan yang terkini, iaitu antaranya mengambil kira faktor teknikal, melihat kepada contohnya aspek BDM (berat dengan muatan), kedua kapasiti enjin, ketiga tentang kategori lori, tahap penggunaan bahan api serta pola operasi kenderaan”, katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Turun Padang sempena Pelaksanaan Budi Diesel di Stesen Shell Presint 18, Putrajaya.
Menurut beliau, terdapat kenderaan dalam kategori yang sama, tetapi mempunyai kapasiti muatan dan penggunaan diesel yang berbeza, sekali gus memerlukan pelarasan kuota yang lebih tepat.
Katanya, KPDN akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memuktamadkan mekanisme pelaksanaan termasuk penyesuaian sistem.
“Kita usaha bersungguh-sungguh supaya pelarasan ini dapat dilaksanakan secepat mungkin. Jika tidak sempat pada bulan hadapan, kita sasarkan selewat-lewatnya awal Ogos,” katanya.