PRN Johor: Budaya berkempen sihat pastikan kelangsungan demokrasi

Datuk Fahmi Fadzil beramah mesra bersama penduduk Senggarang pada Program Hasrat MADANI di Senggarang pada Jumaat/ Foto BERNAMA

BATU PAHAT, 27 Jun – Semua parti politik, jentera dan penyokong sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu mengamalkan budaya berkempen secara sihat berasaskan fakta dan bukannya fitnah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri menyeru amalan berkempen sihat menjelang penamaan calon.
  • Berkempen berhemah menjamin kelangsungan demokrasi beradab dan pematuhan undang-undang.
  • PH akan laksanakan kempen seimbang di lapangan dan platform digital untuk maklumat sahih dan bendung berita palsu.

Peringatan ini disuarakan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menjelang hari penamaan calon pada Sabtu.

Tegasnya, amalan berkempen yang sihat dapat memastikan proses demokrasi berjalan dengan penuh adab serta mematuhi undang-undang.

“Berkempen secara berhemah penting bagi mewujudkan keharmonian dalam masyarakat serta mengekang penyebaran berita palsu.

Kita percaya kempen yang sihat akan memastikan kelangsungan amalan demokrasi di negara ini,” katanya selepas menyantuni penduduk setempat menerusi program Hasrat Madani di Senggarang di sini pada Jumaat.

Turut hadir, calon Pakatan Harapan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.24 Senggarang, Onn Abu Bakar.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) berkata parti itu akan melaksanakan kempen secara seimbang di lapangan dan menerusi platform digital sepanjang PRN Johor.

“Pendekatan itu selari dengan keperluan semasa bagi memastikan pengundi memperoleh maklumat yang sahih, selain membendung penyebaran berita palsu,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon bagi PRN Johor manakala hari pengundian pada 11 Julai selepas DUN dibubarkan pada 1 Jun lepas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.