
KUALA LUMPUR, 26 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan kit ujian air liur di sekatan jalan raya (SJR) bagi mengesan pemandu yang memandu di bawah pengaruh dadah sintetik, termasuk bahan terlarang yang dipercayai dicampurkan dalam cecair vape.
- JSJN Bukit Aman sedang memilih kit ujian air liur yang sesuai untuk operasi pengesanan bahan psikoaktif.
- Penggunaan sampel air liur membolehkan pengesanan pantas di lokasi berbanding ujian air kencing yang perlu dihantar ke makmal.
- Istilah Piu Piu dan Magic Mushroom bukan dadah baharu, tetapi istilah pemasaran bagi bahan psikoaktif sintetik.
- Penyalahgunaan meningkat, melibatkan pelajar sekolah menengah; PDRM sokong perketat kawalan vape dan kerjasama KKM serta AADK.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, langkah itu susulan peningkatan kes penyalahgunaan bahan psikoaktif yang dikaitkan dengan risiko keselamatan jalan raya.
“PDRM sedang dalam proses memilih kit ujian air liur yang bersesuaian untuk digunakan dalam operasi SJR. Selain ujian alkohol, saringan terhadap penggunaan bahan psikoaktif dalam vape turut akan dijalankan.
“Penggunaan sampel air liur membolehkan pengesanan dilakukan dengan lebih cepat di lokasi berbanding ujian air kencing yang memerlukan sampel dihantar ke makmal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Datuk Hussein, penggunaan kit berkenaan disasarkan dapat dilaksanakan menjelang penghujung tahun ini sekiranya mendapat kelulusan dan peruntukan yang diperlukan.
Beliau berkata istilah seperti “Piu Piu” dan “Magic Mushroom” yang tular ketika ini bukan nama dadah baharu, sebaliknya istilah pemasaran yang digunakan bagi mempromosikan bahan psikoaktif sintetik di pasaran gelap.
Katanya, bahan terbabit mudah diperoleh menerusi platform dalam talian serta pusat hiburan, selain sukar dikesan kerana mempunyai ciri tidak berwarna dan tidak berbau.
Lebih membimbangkan, siasatan polis mendapati penyalahgunaan bahan itu bukan sahaja melibatkan golongan dewasa, malah mula dikesan dalam kalangan pelajar sekolah menengah.
Statistik JSJN merekodkan 168 kes membabitkan 267 tangkapan sehingga 10 Jun tahun ini, berbanding 108 kes dengan 138 tangkapan sepanjang tahun lalu.
Mengulas lanjut katanya, PDRM menyokong usaha kerajaan memperketat kawalan terhadap penyalahgunaan vape yang mengandungi bahan terlarang bagi memudahkan tindakan penguatkuasaan.
Buat masa ini, PDRM akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) demi membendung penularan gejala tersebut.