
KUALA LUMPUR, 26 Jun – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah berskala besar yang dipercayai didalangi seorang lelaki bergelar “Datuk” selepas menahan 291 individu menerusi Op Gaurus yang dijalankan di Perak, Lembah Klang dan Johor.
- Operasi khas 17 hingga 21 Jun merampas dadah bernilai RM6.26 juta, melumpuhkan rangkaian pengedaran aktif sejak pertengahan tahun lalu.
- Suspek utama lingkungan 40-an dipercayai ketua kumpulan kongsi gelap; polis menahan sembilan ahli utama dan menumpaskan struktur organisasi jenayah.
- Pelbagai jenis dadah dan aset mewah dirampas termasuk kenderaan mewah, jam tangan Rolex serta wang tunai; pelucuthakan harta dijalankan mengikut undang-undang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi khas berimpak tinggi pada 17 hingga 21 Jun itu berjaya melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah bernilai RM6.26 juta yang dipercayai aktif beroperasi sejak pertengahan tahun lalu.
Beliau berkata, suspek utama berusia lingkungan 40-an dipercayai bukan sahaja mengetuai sindiket pengedaran dadah terbabit, malah merupakan ketua sebuah kumpulan kongsi gelap yang aktif di negeri-negeri berkenaan.
“Modus operandi sindiket ini adalah membeli dadah secara pukal sebelum membungkus semula untuk diedarkan, khususnya ke pusat-pusat hiburan.
Siasatan turut mendapati sindiket memiliki pelbagai peralatan dan bahan kimia prekursor yang digunakan bagi memproses dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Datuk Hussein, polis turut menahan sembilan lagi individu yang dipercayai merupakan ahli utama sindiket berkenaan, sekali gus melumpuhkan struktur organisasi jenayah itu.
Dalam operasi berkenaan, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk heroin, serbuk dan cecair MDMA, ketamin, pil ekstasi, pil Erimin 5 serta ganja.
Selain dadah, pelbagai aset yang dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah turut disita, termasuk sebuah Maserati Ghibli, Mercedes-Benz, Toyota Alphard, Toyota Vellfire, Mazda dan Nissan Sentra, selain dua utas jam tangan Rolex serta wang tunai berjumlah RM4,383.
Mengulas profil tangkapan, kesemua 291 individu yang ditahan berusia antara 19 hingga 74 tahun, manakala hasil saringan awal air kencing mendapati lima daripada mereka positif dadah.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala tindakan mengesan, membekukan dan melucut hak harta milik syarikat serta individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket itu turut dilaksanakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Katanya, tindakan itu bertujuan melumpuhkan sumber kewangan sindiket selain memastikan aset yang dipercayai diperoleh menerusi kegiatan pengedaran dadah dapat disita mengikut peruntukan undang-undang.