
KUALA LUMPUR, 26 Jun– Satu sindiket memproses dan mengedar dadah tumpas selepas polis membongkar sebuah makmal rahsia di premis perindustrian terbiar di Cheras.
- Rampasan dan sitaan keseluruhan bernilai RM136.27 juta hasil Op Horitus, termasuk dadah dan aset lain.
- Makmal pemprosesan ditemui di premis perindustrian; ditemukan pil ekstasi 95.80 kg, MDMA serbuk 48.42 kg serta 760 liter cecair MDMA.
- Tujuh suspek ditahan, enam lelaki tempatan dan seorang wanita warga China; direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B.
Serbuan menerusi Op Horitus pada 20 Jun lalu itu membawa kepada rampasan dadah dan sitaan keseluruhan bernilai RM136.27 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tujuh individu diberkas dalam tiga serbuan berasingan di sekitar ibu negara.
Mereka terdiri daripada enam lelaki tempatan dan seorang wanita warga China berusia antara 22 hingga 55 tahun.
Menurut beliau, sindiket berkenaan mengubah suai premis perindustrian terbiar itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa serta penduduk setempat.
“Serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Cheras Utama membawa kepada penahanan lima suspek bersama rampasan 26.40 kilogram serbuk disyaki MDMA dan 75.41 kilogram pil ekstasi.
Kejayaan itu menjadi pembuka jalan kepada pembongkaran keseluruhan rangkaian sindiket berkenaan,” katanya pada sidang media di sini.
Beliau berkata, serbuan kedua ke atas sebuah kenderaan yang diparkir di Pudu Impian IV pula membawa kepada penahanan dua lagi suspek.
Polis turut merampas satu peket plastik disyaki ketamin seberat lima gram.
Serbuan seterusnya di premis perindustrian terbiar di Cheras Baharu menemukan makmal memproses dadah.
“Polis menemukan 13 bungkusan pil ekstasi seberat 95.80 kilogram, 11 bungkusan serbuk disyaki MDMA seberat 48.42 kilogram serta 760 liter cecair MDMA,” ujarnya lagi.
Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai aktif sejak November tahun lalu.
Sindiket berkenaan mendapatkan bekalan bahan kimia tertentu sebelum memproses dan mengedar dadah ke pasaran tempatan.
Hasil saringan air kencing mendapati seorang suspek positif ketamin.
Dua lagi suspek pula mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Kesemua suspek direman dari 21 hingga 27 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selain rampasan dadah bernilai RM135.63 juta, polis turut menyita lima kenderaan, wang tunai RM26,800 dan barang kemas bernilai kira-kira RM644,000.
Tindakan diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.