Kerajaan belum komersial tanaman bawang putih, elak petani rugi

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberi penjelasan pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini. / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Pengkomersialan penanaman bawang putih di negara ini hanya akan dibuat selepas kajian kesesuaian tanaman itu dimuktamadkan bagi mengelakkan petani menanggung kerugian jika tanaman itu tidak sesuai dengan keadaan tanah dan cuaca tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan memperluas penanaman perlu berasaskan hasil penyelidikan DOA dan MARDI.
  • Percubaan bawang besar dan bawang putih memerlukan kajian lebih panjang; tanaman lebih sesuai di kawasan kering dengan perubahan cuaca.
  • Kawasan sesuai akan menerima sokongan teknikal daripada DOA dan MARDI jika petani memohon; usaha tingkatkan pengeluaran tempatan dan kurangkan import.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keputusan memperluaskan penanaman berkenaan perlu berasaskan hasil penyelidikan Jabatan Pertanian (DOA) serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Percubaan tanaman bawang besar dan bawang putih sekarang memerlukan kajian lebih lama dan mendalam kerana tanaman itu memerlukan kawasan lebih kering.

“Dengan perubahan cuaca yang berlaku sekarang, kawasan lebih kering berkemungkinan lebih sesuai untuk tanaman bawang putih pada masa akan datang,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini.

Jelasnya lagi, kawasan yang dikenal pasti sesuai akan menerima sokongan teknikal daripada DOA dan MARDI sekiranya terdapat permintaan daripada petani.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, Malaysia menghasilkan 135.29 tan metrik bawang merah kecil sepanjang 2024 hingga 2025.

Usaha itu dilaksanakan bagi meningkatkan pengeluaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada import, selaras dengan sasaran kadar sara diri (SSR) bawang merah kecil sebanyak 30 peratus menjelang 2030.

Pada 2025, Selangor merekodkan kawasan penanaman paling luas, iaitu 40 hektar, diikuti Kelantan dengan 30.85 hektar, Perak 28 hektar, manakala Terengganu dan Perlis masing-masing satu hektar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.