PGA rampas 800 kilogram beras seludup

Sebahagian daripada 800 kilogram beras dipercayai diseludup dari Thailand yang dirampas PGA dalam Op Taring Wawasan di Kampung Batu Hitam, Tanah Merah, Kelantan/Foto PGA

TANAH MERAH, 23 Jun – Kira-kira 800 kilogram beras dipercayai diseludup dari Thailand dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam satu operasi di Kampung Batu Hitam, dekat sini, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun ditahan dipercayai terlibat penyeludupan beras ke pasaran tempatan.
  • Pemeriksaan kenderaan menjumpai 700 kg beras pelbagai jenis dan 100 kg beras pulut dipercayai dari Thailand.
  • Suspek mengaku memasukkan bekalan melalui pangkalan haram Kampung Lalang Pepuyu sebelum dihantar ke Paloh Rawa, Machang.
  • Kenderaan dirampas; keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM13,500, kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994.

Rampasan menerusi Op Taring Wawasan itu turut menahanan seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan beras ke pasaran tempatan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussin berkata, pemandu kenderaan itu bertindak memecut laju ke arah Kampung Panglima Bayu sebelum dikejar hingga ke Kampung Batu Hitam.

“Suspek kemudian memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan selepas dikejar anggota PGA.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 700 kilogram beras pelbagai jenis dan 100 kilogram beras pulut yang dipercayai diseludup dari Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek mengaku membawa masuk bekalan beras berkenaan melalui pangkalan haram di Kampung Lalang Pepuyu sebelum dihantar ke pasaran di Paloh Rawa, Machang.

Katanya, suspek turut mendakwa menjalankan kegiatan itu sekali sehari dan bekerja dengan seorang individu warga Thailand yang dikenali sebagai Shida.

Ahmad Radzi berkata, sebuah kenderaan yang digunakan untuk mengangkut beras berkenaan turut dirampas, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM13,500.

Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 serta telah dirujuk kepada Kawal Selia Padi dan Beras Negara Kelantan untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“PGA akan terus mempergiat pemantauan di kawasan sempadan bagi memastikan tiada sebarang pembolosan, penyeludupan dan ketirisan barang kawalan berlaku,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.