PGA rampas E-Waste, diesel bernilai RM6.49 juta

Antara barangan e-waste yang dirampas PGA dalam Op Hazard di sebuah kilang di Gambang, Pahang/Foto PGA

GAMBANG, 23 Jun – Pelbagai barangan elektronik terpakai (e-waste), minyak transformer dan diesel bernilai kira-kira RM6.49 juta dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan di sebuah kilang di Lebuhraya Tun Razak, di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang mengaku pengurus kilang ditahan untuk membantu siasatan.
  • Pemeriksaan kira-kira pukul 3.10 petang menemui barangan elektronik, minyak transformer, diesel dan peralatan tanpa dokumen sah.
  • Barangan milik syarikat dari Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa 2, Kelantan disimpan sementara sebelum peleraian komponen.
  • Rampasan akan diserahkan kepada KPDN, e-waste dirujuk kepada JAS Pahang; MBK dan tindakan undang-undang mengikut akta berkaitan.

Dalam operasi menerusi Op Hazard itu, seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang mengaku sebagai pengurus kilang turut ditahan bagi membantu siasatan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussin berkata, serbuan dijalankan kira-kira pukul 3.10 petang susulan pemeriksaan lanjut di premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai barangan elektronik terpakai, minyak transformer, diesel dan peralatan berkaitan yang disyaki disimpan serta diproses tanpa dokumen dan permit yang sah.

“Antara yang dirampas ialah 20 tan barangan elektronik, lima tan papan induk komputer (motherboard), 8,000 liter minyak transformer, 400 liter diesel, 40 jumbo lampu tekanan tinggi serta 30 unit switchgear,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengurus kilang gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan atau pengendalian bahan dan barangan yang disimpan di premis tersebut.

Menurutnya, kesemua barangan berkenaan milik sebuah syarikat yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa 2, Kelantan dan dipercayai dibawa ke lokasi itu sebagai pusat penyimpanan sementara sebelum dihantar untuk proses peleraian komponen.

Ahmad Radzi berkata, rampasan diesel akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Manakala barangan e-waste akan dirujuk kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang untuk tindakan lanjut.

Katanya, pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) turut akan mengambil tindakan terhadap premis berkenaan kerana dipercayai beroperasi tanpa lesen dan permit yang sah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bekalan 1961, Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian 1992.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.