Lori muatan cat terbakar, pondok tol Sungai Ramal hampir musnah

Sebuah lori membawa muatan cat terbakar di Plaza Tol Sungai Ramal petang tadi / Foto JBPM Selangor

KAJANG, 23 Jun – Sebuah lori tiga tan yang membawa muatan cat terbakar di Plaza Tol Sungai Ramal menghala ke Jalan Reko, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran memusnahkan hampir 80% lori dan merebak ke pondok tol, menyebabkan kerosakan kira-kira 90%.
  • Pasukan JBPM dikejarkan, enam anggota terlibat dalam operasi pemadaman.
  • Tiada mangsa cedera; punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Kebakaran itu menyebabkan lori berkenaan terbakar hampir 80 peratus sebelum api merebak ke sebuah pondok tol yang turut mengalami kerosakan kira-kira 90 peratus.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 2.55 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi bersama sebuah jentera kemudian dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, anggota mendapati sebuah lori tiga tan yang membawa muatan cat sedang terbakar. Kebakaran dipercayai bermula di bahagian hadapan lori sebelum merebak ke pondok tol berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, seramai enam anggota terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran.

Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.