
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyokong MADANI Mart meskipun ia bukan inisiatif kerajaan, sebaliknya jenama perniagaan peruncitan swasta.
- Inisiatif MADANI Mart meningkatkan akses kepada barangan keperluan pada harga berpatutan dan membuka peluang perniagaan kepada usahawan tempatan.
- MADANI Mart beroperasi melalui lesen; Yayasan MADANI pemilik jenama manakala entiti perniagaan dilantik sebagai operator.
- Yayasan didaftar di SSM sebagai syarikat berhad menurut jaminan; premis yang jual barang kawalan mesti miliki lesen CSA.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata inisiatif itu dapat meningkatkan akses rakyat kepada barangan keperluan harian pada harga berpatutan, selain membuka peluang perniagaan kepada usahawan tempatan.
“Selaras dengan aspirasi memperkukuh ekonomi domestik, Kementerian akan terus memainkan peranan dalam mewujudkan ekosistem perdagangan yang kondusif, berdaya saing dan memberi manfaat kepada pengguna serta komuniti perniagaan,” katanya pada sesi waktu pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Jelasnya, MADANI Mart beroperasi menggunakan konsep pelesenan dengan Yayasan MADANI sebagai pemilik dan pemberi lesen jenama berkenaan.
Operasinya pula dikendalikan entiti perniagaan yang diberikan lesen oleh yayasan itu melalui proses permohonan.
Datuk Armizan berkata, walaupun MADANI Mart tidak berada secara langsung di bawah bidang kuasa KPDN, terdapat dua perkara yang menyentuh tanggungjawab kementerian.
“Yayasan MADANI didaftarkan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebuah agensi di bawah KPDN, mengikut Seksyen 45 Akta Syarikat 2016 sebagai syarikat berhad menurut jaminan,” jelasnya.
Selain itu, mana-mana premis peruncitan yang menyimpan, membekal atau menjual barang kawalan berjadual perlu mendapatkan Lesen Barang Kawalan Berjadual (CSA) mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Setakat ini, dua cawangan MADANI Mart memiliki lesen CSA yang didaftarkan atas dua entiti perniagaan yang bertindak sebagai operator.