Piala Dunia 2026: Iran tinggalkan nota penghargaan di Los Angeles

Nota yang ditinggalkan Iran di Los Angeles. Foto/Reuters.

INGLEWOOD, 21 JUN – Skuad bola sepak Iran menerima pujian ramai selepas menzahirkan ucapan penghargaan atas kemudahan yang disediakan tuan rumah Piala Dunia 2026 di Los Angeles, walaupun mereka dikenakan pelbagai sekatan di Amerika Syarikat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nota menyatakan kebanggaan Iran, berterima kasih atas layanan, dan menegaskan mereka berlawan dengan kehormatan serta pulang bermaruah.
  • Nota juga menghargai penyokong Iran yang hadir, membawa hati, suara dan jiwa untuk menyokong pasukan.
  • Persian Cheetahs kini kedua Kumpulan G dengan dua mata, berkongsi mata bersama Belgium; New Zealand satu mata, Mesir di kedudukan teratas.

Penghargaan itu disampaikan menerusi sebuah nota yang ditinggalkan dalam bilik persalinan di Stadium SoFi selepas aksi Iran menentang Belgium yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

“Dari Parsi purba beribu-ribu tahun yang lalu kepada Iran yang bertamadun hari ini, semangat Iran kekal hidup dan teguh.

“Terima kasih Los Angeles atas layanan anda. Kami datang ke Los Angeles dengan bangga, bersaing dengan kehormatan dan pergi dengan bermaruah,” menurut nota tersebut.

Nota itu juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada penyokong Iran yang membawa hati, suara dan jiwa mereka untuk teguh bersama pasukan Iran dalam dua perlawanan.

Skuad yang diberi jolokan ‘Persian Cheetahs’ itu kini berada di kedudukan kedua kumpulan G selepas mengumpul dua mata.

Berkongsi mata bersama Belgium di tempat ketiga, manakala New Zealand di tangga keempat dengan satu mata.

Mesir pula di kedudukan teratas selepas mencatatkan keputusan satu seri dan satu kemenangan.- Reuters

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.