
AYER KEROH, 18 Jun – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok, minuman keras dan sisa barangan elektrik serta elektronik (e-waste) bernilai RM13.42 juta termasuk duti dan cukai.
- Beberapa operasi penguatkuasaan April hingga Mei dijalankan di Pulau Pinang, Kedah, Johor, Selangor dan Pelabuhan Klang.
- JKDM mematahkan empat kes berasingan hasil risikan melibatkan rokok dan minuman keras.
- Rampasan terbesar tujuh kontena mengandungi 8.82 juta batang rokok dan lebih 65,000 liter minuman keras.
- Serbuan lain merampas 92,310 kilogram e-waste selepas kandungan sebenar tidak sepadan dengan dokumen pengimportan.
Pengarah JKDM Melaka, Roslan Yusoff berkata, kejayaan itu hasil beberapa operasi penguatkuasaan yang dijalankan antara April dan Mei lalu di Pulau Pinang, Kedah, Johor dan Selangor serta Pelabuhan Klang.
Katanya, JKDM menerusi risikan pihaknya berjaya mematahkan empat kes berasingan melibatkan rokok dan minuman keras pelbagai jenama serta 92,310 kilogram (kg) sisa e-waste.
Rampasan terbesar melibatkan tujuh kontena yang mengandungi 8.82 juta batang rokok dan lebih 65,000 liter minuman keras dengan nilai keseluruhan RM10.35 juta termasuk duti dan cukai.
Kontena berstatus ‘transhipment’ itu didapati gagal mengemukakan manifes kepada pihak JKDM dalam tempoh yang ditetapkan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bahawa kesemua kontena tersebut dibawa dari negara luar ke Pelabuhan Klang pada penghujung bulan April tahun ini. Kesemua kontena tersebut akan dibawa ke beberapa negara luar dan pelabuhan di dalam negara seperti Kuching, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Wisma Kastam, Ayer Keroh.
Dalam operasi berasingan, JKDM turut merampas 92,310 kilogram sisa e-waste bernilai RM1.25 juta di Pelabuhan Klang selepas mendapati kandungan sebenar tidak sepadan dengan dokumen pengimportan yang diikrarkan.
Sementara itu, serbuan di beberapa premis di Pulau Pinang dan Kedah berjaya menyita lebih 50,000 batang rokok serta hampir 37,000 liter minuman keras bernilai RM1.53 juta termasuk duti dan cukai.
Di Johor pula, sebuah kenderaan yang membawa 249,000 batang rokok tanpa setem cukai kastam berjaya ditahan di Plaza Tol Ayer Hitam. Rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM290,000 termasuk duti dan cukai.
Beberapa individu berusia antara 20 hingga 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan.
Empat kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 135(1)(d), Seksyen 135(1)(e), Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 52(1) Akta Kastam 1967.
JKDM turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan bagi membantu membanteras jenayah yang bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat.