
PASIR PUTEH, 18 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan merampas 24 kotak rokok putih tidak bercukai bernilai kira-kira RM162,000, dalam satu operasi di kawasan Muara Sungai Kelantan pada 13 Jun lalu.
- Bot pancung tanpa nombor pendaftaran dikesan bergerak mencurigakan, memecut laju dan melarikan diri melalui laluan tikus apabila dikejar.
- Anggota menemui beberapa kotak berbalut plastik berisi rokok putih tidak bercukai di tebing jeti Sungai Penambang.
- Tiga MPV ditemui dalam lingkungan 20 meter, dipenuhi kotak dipercayai mengandungi rokok; sindiket memindahkan muatan dalam kira-kira 17 minit.
- Siasatan menyatakan jumlah keseluruhan 240,000 batang rokok; kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967; rokok dipercayai untuk pasaran Kelantan dan negeri lain.
Turut dirampas tiga buah kenderaan pelbagai guna (MPV) bernilai RM50,000 dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan.
Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, rampasan dilakukan hasil rondaan anggota Maritim yang mengesan sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran, bergerak dalam keadaan mencurigakan pada pukul 9.44 malam.
“Bot tersebut memecut laju dan melarikan diri melalui laluan tikus selepas menyedari diekori bot ronda Maritim Malaysia.
“Susulan itu, anggota Maritim Malaysia menjalankan pemeriksaan di kawasan sekitar dan menemui beberapa kotak berbalut plastik mengandungi rokok putih tidak bercukai di tebing jeti Sungai Penambang, Kota Bharu pada pukul 10.02 malam.

“Pencarian lanjut dalam lingkungan kira-kira 20 meter dari lokasi penemuan membawa kepada penemuan tiga buah MPV yang dipenuhi kotak coklat dipercayai mengandungi rokok putih tidak bercukai,” katanya kepada pemberita.
Tambahnya, sindiket dipercayai menggunakan tempoh kira-kira 17 minit untuk memindahkan muatan rokok dari bot ke kenderaan tersebut sebelum melarikan diri.
“Siasatan awal mendapati setiap peti mengandungi 50 karton rokok, manakala setiap karton mempunyai 10 kotak rokok, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 240-ribu batang rokok.
“Rokok berkenaan dipercayai untuk pasaran di Kelantan serta negeri-negeri lain,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.