
KOTA KINABALU, 19 Oktober – Polis sedang menyiasat punca sebenar kemalangan maut membabitkan sebuah kontena yang menghempap sebuah kenderaan di Jalan Sepanggar di sini, pada Ahad.
- Pemandu lori treler ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan.
- Pihak berkuasa akan mempergiat operasi dan penguatkuasaan larangan meletakkan kontena di tepi jalan.
- Dua nyawa terkorban, saksi mendakwa treler yang mengangkat kontena dipercayai hilang keseimbangan lalu terbalik.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, pemandu lori treler berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan.
“Sehubungan itu, tindakan bersesuaian perlu dilakukan pihak pelabuhan atau mana-mana yang terlibat dalam kontena ini untuk memastikan tidak ada kontena diletakkan di tepi jalan kerana ia boleh mengganggu lalu lintas.
“Perbuatan meletakkan kontena di tepi jalan yang boleh menghalang dan menyebabkan kesesakan lalu lintas boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 28 Akta Pengangkutan Jalan,” tegasnya.
Susulan itu, pihaknya akan mempergiat operasi penguatkuasaan bagi melarang kontena diletakkan di tepi jalan.
“Ini penting bagi mengelak kejadian sama berulang selain memastikan keselamatan serta kelancaran lalu lintas di kawasan berkenaan,” ujarnya.
Pada Ahad, seorang lelaki bersama anak perempuannya maut apabila kereta dinaiki dua beranak itu dihempap sebuah kontena berhampiran Pelabuhan Sepanggar.
Insiden kira-kira pukul 6.20 petang berlaku ketika Mohd Jadi Pelbi, 53, dan anaknya, Norfaieza Mohd Jadi, 24, sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kuala Baru, di sini.
Saksi mendakwa sebuah treler yang sedang mengangkat kontena terbabit dipercayai hilang keseimbangan lalu terbalik dan menghempap kenderaan mangsa yang sedang melalui jalan berkenaan.