
NEW DELHI, 17 Jun – Kerajaan India menyekat akses kepada aplikasi Telegram sebagai langkah drastik mengekang penipuan, menjelang peperiksaan semula kemasukan kolej perubatan peringkat kebangsaan ekoran skandal kebocoran kertas soalan bulan lalu.
- Fungsi penyuntingan mesej Telegram disekat sehingga 30 Jun.
- NEET dibatalkan selepas dakwaan kebocoran kertas, mencetuskan kemarahan dan demonstrasi belia menuntut peletakan jawatan Menteri Pendidikan.
- Pengasas Telegram Pavel Durov dan IFF mengkritik sekatan, mengatakan ia menghukum pengguna biasa dan tidak menyelesaikan masalah.
Kementerian Elektronik mengeluarkan perintah sekatan itu bermula semalam hingga Isnin depan iaitu hari peperiksaan semula tersebut berlangsung.
Malah, fungsi penyuntingan mesej yang membolehkan pengguna mengubah kandungan hantaran juga akan terus disekat hingga 30 Jun.
“Kedua-dua langkah itu diambil demi kepentingan ketenteraman awam sebagai tindak balas terhadap penggunaan platform tersebut secara terancang oleh sindiket penipuan untuk memperdaya calon,” menurut kenyataan rasmi Agensi Ujian Kebangsaan (NTA) India.
Kegagalan mengendalikan peperiksaan yang amat kompetitif itu serta isu membabitkan kesilapan sistem pemarkahan ujian sekolah tinggi telah mencetuskan kemarahan rakyat serta demonstrasi golongan belia yang menuntut Menteri Pendidikan meletak jawatan.
Ujian Kelayakan Kebangsaan Bersama Kemasukan (NEET) merupakan antara peperiksaan paling sengit di India yang menarik penyertaan lebih dua juta bakal doktor setiap tahun.
Peperiksaan yang diadakan bulan lalu terpaksa dibatalkan selepas timbul dakwaan kebocoran kertas soalan termasuk laporan bahawa ia telah diedarkan secara meluas melalui saluran di Telegram.
Bagaimanapun, tindakan sekatan ini menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Telegram, Pavel Durov menyifatkan pengharaman selama seminggu itu tidak menyelesaikan masalah.
“Sekatan ini tidak menghalang apa-apa. Sebaliknya, ia menghukum 150 juta pengguna biasa di India, bukannya dalang dalaman yang membocorkan bahan peperiksaan tersebut.
Kes kebocoran ini hanya akan berpindah ke aplikasi lain,” kata Durov melalui satu hantaran di laman X.
Pandangan itu turut disokong oleh pertubuhan hak digital, Internet Freedom Foundation (IFF) yang menyifatkan sekatan media sosial tersebut sebagai “tindakan yang tidak sepadan” dalam menangani isu penipuan peperiksaan.- AFP