
LABUAN, 15 Jun – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memulakan operasi pembenihan awan (OPA) di Sabah selama tiga hari bermula hari ini, sebagai langkah awal meningkatkan paras simpanan air di empangan utama negeri itu menjelang jangkaan cuaca kering dalam beberapa bulan akan datang.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) NADMA, Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar berkata, operasi berkenaan dilaksanakan susulan permohonan kerajaan Sabah menerusi penyelarasan antara NADMA, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jabatan Bekalan Air Labuan dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Beliau berkata, operasi itu memberi tumpuan kepada kawasan tadahan air strategik bagi meningkatkan taburan hujan serta memastikan paras simpanan air mencukupi untuk kegunaan penduduk.
“Kita akan melaksanakan tiga penerbangan bagi operasi pembenihan awan pada 15, 16 dan 17 Jun.
“Ini merupakan langkah awal bagi memastikan paras air di empangan di Sabah dapat dipertingkatkan sebagai persediaan menghadapi cuaca kering yang dijangka berlaku sepanjang Jun hingga September,” katanya kepada pemberita selepas pelepasan pesawat OPA di Pangkalan Udara TUDM Labuan, hari ini.
Operasi itu melibatkan penggunaan pesawat Lockheed C-130 Hercules TUDM yang membawa empat tangki berisi kira-kira 6,000 liter campuran air garam untuk disembur di ruang udara sasaran bagi merangsang pembentukan hujan.
Antara kawasan tumpuan operasi ialah Empangan Babagon, Empangan Tenom Pangi, Empangan Cinta Mata, Empangan Kogopon dan Empangan Ulu Padas.
Datuk Abdul Gapar berkata, usaha itu turut memberi manfaat kepada penduduk Labuan, memandangkan kira-kira 90 peratus bekalan air bersih wilayah berkenaan diperoleh dari Sabah.
Katanya, setakat ini NADMA telah menyelaras 11 siri operasi pembenihan awan melibatkan 33 penerbangan di seluruh negara merangkumi zon utara, selatan, timur dan Sabah, manakala operasi di Sarawak dijadualkan dilaksanakan minggu depan.