
JOHOR BAHRU, 15 Jun – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menghantar pulang 132 tahanan warga asing ke negara asal masing-masing sepanjang minggu kedua bulan ini bagi memastikan tiada lambakan tahanan yang telah selesai menjalani hukuman, terus berada di negara ini.
- Melibatkan tahanan warganegara: Indonesia 54, Myanmar 36, Filipina 17, Nepal 13, Pakistan 8, India 3, China 1.
- Pemulangan dilaksanakan melalui KLIA Terminal 1, KLIA Terminal 2 dan Terminal Feri Stulang Laut.
- Tahanan dihantar pulang selepas selesai menjalani hukuman mengikut Kanun Keseksaan, Akta Dadah Berbahaya, Akta Imigresen dan peraturan berkaitan.
- Semua tahanan disenarai hitam dan dihalang masuk semula; orang ramai boleh hubungi Unit Rekod dan Pemindahan atau SPO; urusan tiket tanpa caj tambahan.
JIM Johor dalam kenyataan memaklumkan pemindahan itu dilaksanakan oleh Depot Imigresen Pekan Nenas melibatkan 54 tahanan warganegara Indonesia, diikuti Myanmar (36), Filipina (17), Nepal (13), Pakistan (lapan), India (tiga) dan China (seorang).
Menurut kenyataan itu, semua tahanan dihantar pulang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, KLIA Terminal 2 dan Terminal Feri Stulang Laut, di sini.
Pemindahan berkenaan dilaksanakan selepas kesemua tahanan selesai menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan mengikut Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta undang-undang berkaitan lain.
JIM Johor berkata, semua tahanan yang dihantar pulang telah disenarai hitam dalam sistem jabatan dan tidak dibenarkan memasuki semula Malaysia bagi tempoh yang ditetapkan.
Orang ramai yang mempunyai pertanyaan berhubung proses penghantaran pulang, boleh menghubungi Unit Rekod dan Pemindahan Depot Imigresen Pekan Nenas atau menggunakan Sistem Pertanyaan Online (SPO) yang disediakan jabatan berkenaan.
Bagi urusan penghantaran pulang termasuk pembelian tiket pula, boleh dilakukan di Kaunter Perkhidmatan Depot Imigresen Pekan Nenas tanpa dikenakan sebarang caj perkhidmatan tambahan.