Damai AS-Iran tidak pulihkan segera ekonomi global

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir/Foto RTM

PUTRAJAYA, 15 Jun – Pemulihan ekonomi serta bekalan minyak global dijangka tidak berlaku dalam masa terdekat meskipun terdapat perkembangan positif melibatkan potensi perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran bagi menamatkan krisis geopolitik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketegangan geopolitik masih memberi tekanan besar kepada ekonomi dunia dan rantaian bekalan minyak antarabangsa.
  • Pemulihan infrastruktur dan laluan perdagangan strategik seperti Selat Hormuz dijangka mengambil masa panjang sebelum kembali stabil.
  • Laporan menyatakan AS dan Iran mencapai persetujuan damai, Pakistan sebagai pengantara, tandatangan rasmi dijangka di Switzerland.
  • Kerajaan dan Kementerian Ekonomi kekal berhati-hati, terus komited melalui mesyuarat MTEN sehingga keadaan benar-benar stabil.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kesan daripada ketegangan geopolitik semasa masih memberi tekanan besar kepada ekonomi dunia termasuk rantaian bekalan minyak antarabangsa.

Beliau berkata, walaupun sebarang usaha ke arah perdamaian amat dialu-alukan, proses pemulihan infrastruktur dan laluan perdagangan strategik seperti di Selat Hormuz dijangka mengambil masa yang panjang sebelum kembali stabil.

“Sekiranya benar perjanjian damai itu boleh dicapai, kesannya mungkin tidak serta-merta kerana proses pemulihan laluan perdagangan dan kerosakan infrastruktur akibat konflik memerlukan masa,” katanya kepada media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media asing yang mendakwa AS dan Iran telah mencapai persetujuan damai untuk menamatkan operasi ketenteraan secara serta-merta dan kekal di beberapa kawasan konflik, termasuk Lubnan, dengan Pakistan dilaporkan sebagai negara pengantara.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menerusi platform X memaklumkan bahawa perjanjian tersebut telah dicapai dan majlis penandatanganan rasmi dijangka diadakan di Switzerland pada 18 Jun ini.

Selain itu, Presiden AS, Donald Trump turut dilaporkan berkata bahawa perjanjian dengan Iran telah dimuktamadkan.

Bagaimanapun, Akmal Nasrullah menegaskan kerajaan masih belum boleh berasa selesa dengan perkembangan itu kerana situasi geopolitik global masih mudah dipengaruhi faktor luar jangka.

“Di peringkat Kementerian Ekonomi, kita terus komited melihat peranan yang boleh dimainkan bagi meredakan tekanan termasuk melalui mesyuarat MTEN sehinggalah keadaan benar-benar stabil,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.