
KUALA LUMPUR, 13 Jun – Lebih RM500 juta potensi urus niaga dijana dalam tempoh 12 bulan akan datang, berdasarkan sesi padanan perniagaan dan perbincangan yang berlangsung dalam program Bank Rakyat BizMatch: Make Malaysian Businesses Great di Tokyo.
- Program padanan menyatukan tujuh syarikat Malaysia dan 27 syarikat Jepun untuk teroka kerjasama dalam makanan, pertanian, pembuatan komoditi dan teknologi hijau.
- Potensi urus niaga tertakluk kepada rundingan lanjut, kelayakan produk, kelulusan kawal selia dan pemeteraian perjanjian komersial.
- Bank Rakyat memberi pembiayaan hampir RM300 juta kepada tujuh syarikat Malaysia bagi sokong pengembangan operasi dan penerokaan pasaran baharu.
- KUSKOP memperkasakan PMKS dengan gabungan pembiayaan dan akses pasaran melalui kerangka ABCD, Drive Market Access; program Makkah Halal sebelum ini jana potensi RM2 bilion.
Ia dianjurkan bersempena Nikkei Forum Future of Asia 2026.
Menurut kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, potensi urus niaga itu tertakluk kepada rundingan lanjut, proses kelayakan produk, kelulusan kawal selia dan pemeteraian perjanjian komersial.
“Program ini menghimpunkan tujuh syarikat Malaysia bersama-sama 27 syarikat Jepun bagi meneroka peluang kerjasama serta pengembangan pasaran dalam pelbagai sektor termasuk makanan, pertanian, pembuatan berasaskan komoditi dan teknologi hijau.
“Dalam majlis yang sama, Bank Rakyat turut menyerahkan pembiayaan hampir RM300 juta kepada tujuh syarikat Malaysia yang mengambil bahagian dalam program ini bagi menyokong pengembangan operasi, peningkatan kapasiti pengeluaran dan penerokaan pasaran baharu,” katanya.
Kenyataan itu menyebut, gabungan akses kepada pembiayaan dan akses kepada pasaran merupakan antara strategi penting dalam melahirkan lebih banyak syarikat Malaysia yang mampu berkembang ke peringkat serantau dan global. Sekali gus meningkatkan daya saing ekonomi negara.
Menurutnya, lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun bukan sahaja memberi tumpuan kepada pelaburan berskala besar dan syarikat multinasional, malah turut membuka peluang perniagaan baharu bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia untuk mengembangkan pasaran ke peringkat antarabangsa.
“Selaras dengan aspirasi tersebut, KUSKOP terus memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan PMKS Malaysia.
“Ketika dunia masih berdepan kesan krisis bekalan global akibat konflik geopolitik dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa, keutamaan KUSKOP bukan lagi sekadar membantu PMKS memulakan atau mengekalkan perniagaan, tetapi memastikan mereka mampu menembusi dan menguasai bahagian pasaran yang lebih besar di dalam serta luar negara,” katanya.
Jelasnya, pendekatan strategik itu selari dengan kerangka ABCD KUSKOP, khususnya komponen D iaitu Drive Market Access, yang memberi penekanan kepada usaha memperluas akses pasaran, membina jaringan perniagaan antarabangsa dan membuka peluang eksport kepada syarikat Malaysia.
Usaha berterusan itu mula membuahkan hasil signifikan apabila sesi padanan perniagaan “Make Malaysian Businesses Great” yang diadakan sempena Makkah Halal Forum 2026 di Arab Saudi pada Februari lalu telah berjaya menjana potensi urus niaga bernilai sebanyak RM2 bilion, katanya.
Kejayaan itu mendorong penganjuran program Bank Rakyat yang mendapat sokongan KUSKOP di Tokyo.