
PERAI, 12 Jun – Pulau Pinang menyambut baik pelaburan Galatek Technologies (Galatek) dalam sektor teknologi tinggi yang disifatkan mampu memperkukuh ekosistem semikonduktor di negeri itu, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab strategik pengeluaran maju.
- Galatek membina kemudahan pengeluaran mesin untuk pengujian, penyelesaian AI, elektronik termaju, sains hayat dan tenaga mampan.
- Pelaburan mengisi jurang rantaian bekalan, memperkukuh perkhidmatan kepada kilang tempatan dan pelanggan antarabangsa.
- Sokongan terhadap sektor sains hayat serta pengukuhan peranan Pulau Pinang sebagai hab semikonduktor dan pengeluar berteknologi tinggi.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata pelaburan awal sebanyak AS$2 juta (RM9.4 juta) berkenaan melibatkan kemudahan pengeluaran mesin yang diperlukan oleh industri berkaitan termasuk teknologi pengujian serta penyelesaian kecerdasan buatan (AI), elektronik termaju, sains hayat dan tenaga mampan.
Menurutnya, kehadiran pelaburan sedemikian penting bagi melengkapkan rantaian bekalan industri yang masih mempunyai beberapa jurang dan perlu diperkukuhkan.
“Kita mengalu-alukan pelaburan ini kerana ia merupakan pelaburan dalam teknologi tinggi yang menghasilkan mesin-mesin yang amat diperlukan oleh sektor industri berkaitan termasuk pengujian dan penyelesaian AI.
“Pelaburan ini memperkukuhkan ekosistem kita kerana rantaian bekalan sedia ada masih mempunyai beberapa jurang yang perlu diisi supaya perkhidmatan yang lebih lengkap dapat diberikan kepada kilang-kilang tempatan serta pelanggan di luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan kemudahan baharu Galatek Technologies di Perai, hari ini.
“Walaupun pelaburan ini bukan besar dari segi nilai, dengan anggaran kira-kira RM500 juta dalam tempoh lima tahun, ia tetap penting dalam memperkukuhkan rantaian bekalan kita sebagai hab semikonduktor dan E&E.
“Dalam masa yang sama, pelaburan ini turut menyokong perkembangan sektor sains hayat yang semakin berkembang di Pulau Pinang,” katanya.
Pulau Pinang merupakan antara hab utama industri semikonduktor negara dan memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global menerusi kehadiran syarikat multinasional serta pelaburan berteknologi tinggi yang berterusan.