
EAST RUTHERFORD, 13 Jun – Pengendali Brazil, Carlo Ancelotti percaya skuad kendaliannya memiliki kualiti dan pengalaman mencukupi untuk bersaing dengan mana-mana pasukan pada Piala Dunia 2026.
- Brazil mampu menamatkan penantian 24 tahun untuk meraih Piala Dunia kali keenam.
- Ancelotti berasa bertuah dan bangga mengendalikan pasukan yang dianggap negara bola sepak paling berjaya.
- Neymar masih dalam pemulihan kecederaan betis kanan; dijangka kembali latihan minggu depan dan jadi contoh buat pemain muda.
Menurut jurulatih dari Itali itu, Brazil mempunyai kemampuan untuk menamatkan penantian selama 24 tahun bagi menjulang trofi dunia buat kali keenam.
Katanya, beliau berasa bertuah dan bangga diberi peluang mengendalikan pasukan yang dianggap sebagai negara bola sepak paling berjaya di dunia.
“Kami mempunyai pasukan yang mampu bersaing dengan sesiapa sahaja. Pasukan ini memiliki kualiti, pengalaman dan keyakinan tinggi untuk mencabar pasukan terbaik dunia,” katanya.
Ancelotti yang akan membuat penampilan sulung sebagai jurulatih Brazil di pentas Piala Dunia menjangkakan saingan kali ini berlangsung sengit dan seimbang.
Brazil akan memulakan kempen Kumpulan C menentang Maghribi dengan kumpulan itu turut dibarisi Scotland dan Haiti.
Sementara itu, Ancelotti mengesahkan bintang Brazil, Neymar masih menjalani proses pemulihan kecederaan betis kanan dan dijangka kembali menyertai latihan minggu depan.
Menurutnya, kehadiran Neymar dalam skuad bukan sahaja penting dari segi kualiti permainan, malah pengalaman yang dimilikinya mampu menjadi contoh kepada pemain muda pasukan.-AFP