Dua nelayan dikhuatiri hilang selepas bot karam

Foto hiasan

KEMAMAN, 12 Jun – Dua nelayan termasuk tekong dikhuatiri hilang manakala seorang lagi terselamat selepas bot yang dinaiki mereka karam kira-kira 33 batu nautika timur laut Kuala Kemaman, Rabu lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahadi Jusoh, 51, terselamat; ditemukan bot nelayan tempatan dan dibawa ke jeti LKIM Tanjung Lumpur, Pahang.
  • Azan Muda, 68, dan Nordin Mohammad, 61, dipercayai masih hilang.
  • Pengarah Zon Maritim Kemaman mengesahkan sebuah bot dikerahkan untuk pencarian; operasi SAR disambung pada pukul 7 pagi tadi.

Ketiga-tiga nelayan terbabit dilaporkan keluar menangkap ikan di perairan Kemaman pada Selasa lalu sebelum bot dinaiki mereka dikatakan tenggelam kira-kira pukul 12:30 tengah malam.

Ekoran kejadian itu, salah seorang mangsa, Mahadi Jusoh, 51, terselamat selepas ditemukan sebuah bot nelayan tempatan sebelum dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Lumpur, Pahang.

Manakala tekong bot terbabit Azan Muda, 68, dan seorang lagi rakan mereka Nordin Mohammad, 61, dipercayai masih hilang.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata susulan aduan mengenai kejadian terbabit, pihaknya menggerakkan sebuah bot pada petang semalam untuk melaksanakan pencarian awal.

“Setakat ini, tiada sebarang penemuan diperoleh. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pada pukul 7 pagi tadi,” ujarnya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.