Ranking Dunia FIFA: Malaysia naik dua anak tangga ke kedudukan 136

Foto AFP

ZURICH, 12 Jun – Malaysia kini berada di kedudukan 136 dunia dalam Ranking Dunia FIFA, naik dua anak tangga berbanding ranking ke-138 sebelum ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia mengumpul 1,086.22 mata menurut kemas kini rasmi FIFA.
  • Kenaikan berlaku walaupun skuad kebangsaan tidak beraksi dalam jendela antarabangsa bulan ini.
  • Manfaat daripada kemerosotan pasukan berdekatan seperti India dan Latvia yang mengalami kekalahan.
  • Masih ketinggalan berbanding kuasa Asia Tenggara dan Asia; Jepun, Iran dan Korea Selatan mendominasi benua.

Berdasarkan kemas kini pada Khamis di laman sesawang rasmi FIFA, Malaysia mengumpul 1,086.22 mata.

Kenaikan itu berlaku meskipun skuad kebangsaan tidak beraksi dalam jendela antarabangsa bulan ini.

Malaysia mendapat manfaat daripada kemerosotan beberapa pasukan yang berada dalam kelompok ranking berdekatan.

India, yang kini berada di kedudukan ke-138 dunia, kehilangan mata selepas mencatat tiga kekalahan dan satu keputusan seri dalam empat perlawanan terakhir, manakala Latvia turut tercicir susulan dua kekalahan dalam kejohanan Baltic Cup.

Perkembangan itu membolehkan Harimau Malaya memintas kedua-dua pasukan berkenaan untuk memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia.

Namun peningkatan itu belum cukup untuk menutup jurang Harimau Malaya dengan kuasa utama Asia Tenggara dan Asia.

Di Asia Tenggara, Malaysia kini di belakang Thailand yang berada di kedudukan ke-94 dunia, Vietnam (99), Indonesia (118), Filipina (135) dan Singapura (148).

Manakala di peringkat Asia, Jepun kekal sebagai pasukan terbaik benua itu dengan menduduki ranking ke-18 dunia, diikuti Iran (20) dan Korea Selatan (25).

Sementara itu, Argentina kembali menduduki tangga teratas dunia, diikuti Sepanyol dan Perancis dalam kelompok tiga terbaik ranking FIFA.

Ranking Dunia FIFA menggunakan sistem berasaskan model Elo yang mengambil kira keputusan perlawanan, kekuatan lawan dan kepentingan sesuatu perlawanan dalam menentukan pergerakan mata setiap pasukan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.