MyDigital ID berpotensi jadi ‘senjata’ kekang jenayah penipuan dalam talian

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa menyampaikan ucapan pada Majlis Penghargaan Wira Bank #JanganKenaScam 2026 di Menara KEN Taman Tun Dr Ismail / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Penggunaan MyDigital ID secara menyeluruh berpotensi menjadi antara mekanisme paling berkesan dalam mengekang jenayah penipuan di negara ini menerusi pengesahan identiti yang lebih selamat dan sukar dipalsukan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengarah JSJK dan pihak berkaitan menggalakkan penggunaan MyDigital ID dalam urusan perbankan.
  • MyDigital ID dilengkapi ciri keselamatan sukar ditiru, mengurangkan risiko pemalsuan identiti.
  • Integrasi MyDigital ID dengan KYC bank dijangka memperkukuh usaha membanteras penipuan; tiada garis masa pelaksanaan tetap.
  • 68 pegawai bank dihargai selepas menggagalkan cubaan penipuan, menyelamatkan dana pelanggan RM139 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, platform identiti digital nasional itu dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang yang mampu memperkukuh keselamatan transaksi digital serta mengurangkan risiko penipuan dalam talian.

Beliau berkata, MyDigital ID berpotensi memainkan peranan penting khususnya dalam urusan perbankan apabila pelaksanaannya dapat digunakan secara meluas oleh semua pihak berkaitan.

“Kita percaya apabila MyDigital ID digunakan sepenuhnya, ia akan menjadi antara mekanisme yang mampu menghalang jenayah penipuan daripada berlaku.

“Kita hanya menunggu masa sehingga semua pihak bersedia. Apabila sistem ini digunakan sepenuhnya dalam urusan perbankan, ia akan memberikan lapisan keselamatan yang lebih kukuh,” katanya pada sidang media selepas Acara Penghargaan Bank Heroes #JanganKenaScam 2026, di sini hari ini.

Mengulas kebimbangan mengenai kebocoran maklumat pelanggan, beliau berkata, MyDigital ID dilengkapi pelbagai ciri keselamatan yang diyakini mampu mengurangkan risiko pemalsuan identiti.

“Kita tengok ciri keselamatan yang ada dalam MyDigital ID mampu mencegah penipuan kerana ia tidak mudah ditiru atau dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita juga telah mengadakan libat urus dengan pihak berkaitan dan kini usaha diteruskan bagi memastikan penggunaan MyDigital ID dapat diperluaskan dalam urusan perbankan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pasukan Petugas Kebangsaan Membanteras Penipuan, Syed Ahmad Taufik Albar berkata integrasi MyDigital ID dengan sistem Kenali Pelanggan Anda (KYC) institusi perbankan berpotensi memperkukuh lagi usaha membanteras jenayah penipuan.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank berkata, belum ada garis masa khusus ditetapkan bagi pelaksanaan penuh integrasi tersebut memandangkan setiap bank mempunyai perancangan dan pendekatan tersendiri dalam mengadaptasi teknologi berkenaan.

Terdahulu, seramai 68 pegawai bank menerima penghargaan atas kejayaan mengesan dan menggagalkan cubaan penipuan yang secara keseluruhannya berjaya menyelamatkan dana pelanggan berjumlah RM139 juta sepanjang tahun lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.