
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS dan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang serantau pada Selasa, disokong oleh sentimen pasaran yang lebih baik dalam ketegangan geopolitik yang mereda di Asia Barat.
- Gencatan senjata sementara antara Iran dan Israel meredakan ketegangan, meningkatkan kesediaan mengambil risiko di pasaran serantau.
- Penurunan harga minyak mentah Brent mengurangkan tekanan ke atas aset berisiko dan menyokong sentimen pasaran.
- Data perdagangan China lebih kukuh daripada jangkaan, manakala IHP AS yang akan dikeluarkan dipantau menjelang mesyuarat FOMC.
Pada 6 petang, mata wang tempatan naik kepada 4.0580/0630 berbanding dolar AS daripada 4.0715/0760 semasa ditutup pada Isnin.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata kesediaan mengambil risiko pada peringkat serantau meningkat berikutan gencatan senjata sementara antara Iran dan Israel.
“Gencatan senjata telah menyebabkan harga minyak menurun, membantu mewujudkan sentimen lebih membina dalam kelas aset, dengan minyak mentah Brent menyusut dan mengurangkan tekanan ke atas aset berisiko serantau,” katanya kepada Bernama.
Menurut laporan media pada Isnin, Iran mengumumkan bahawa pihaknya akan menghentikan serangan buat sementara waktu tetapi memberi amaran akan meneruskan serangan jika Israel melakukan sebarang tindakan yang agresif, termasuk operasi ketenteraan di Lubnan.
Iran dan Israel telah menghentikan serangan pada waktu malam, menunjukkan pertukaran serangan langsung pertama sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada awal April.
Setakat ini, harga minyak mentah Brent menurun 1.93 peratus kepada US$92.43 setong.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang serantau turut mengukuh berbanding dolar AS, didorong oleh ketegangan yang mereda di Asia Barat dan disokong oleh data ekonomi China yang lebih kukuh daripada jangkaan.
“Perdagangan China pada Mei juga mengejutkan dari segi peningkatan jumlah eksport apabila naik 19.4 peratus tahun ke tahun berbanding anggaran konsensus sebanyak 15.0 peratus, menunjukkan permintaan global kekal positif walaupun harga bahan api tinggi.
“Selain itu, Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) bagi Mei, yang akan dikeluarkan pada 10 Jun (waktu AS), akan dipantau menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) minggu depan,” katanya.
Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5332/5365 daripada 2.5445/5475 semasa ditutup pada Isnin, bagaimanapun rendah berbanding pound kepada 5.4329/4395 daripada 5.4249/4309 dan menurun berbanding euro kepada 4.6915/6972 daripada 4.6867/6919 sebelum ini.
Bagaimanapun, mata wang tempatan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang serantau.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1563/1604 daripada 3.1577/1614 pada Isnin dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.3531/3732 daripada 12.3942/4128 sebelum ini.
Ia mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.59/6.60 daripada 6.60/6.61 semalam, bagaimanapun rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 224.7/225.1 daripada 223.8/224.2 sebelum ini.- BERNAMA