
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Ringgit terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila kekal menjadi antara mata wang berprestasi terbaik di Asia tahun ini, meskipun berdepan ketidaktentuan global.
- Prestasi disokong aliran masuk pelaburan kukuh dan asas ekonomi negara yang teguh.
- Ringgit mengukuh bukan sahaja berbanding dolar AS malah terhadap mata wang utama lain.
- Keyakinan pelabur jelas melalui aliran FDI dan DDI yang kukuh serta paras pelaburan diluluskan tertinggi.
- Aliran FDI dan pelaburan domestik meningkatkan permintaan terhadap ringgit dan menyokong kestabilan mata wang negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata prestasi itu disokong aliran masuk pelaburan kukuh serta asas ekonomi negara yang teguh.
Jelas beliau, ringgit bukan sahaja mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), malah turut menunjukkan prestasi lebih baik berbanding beberapa mata wang serantau lain.
“Namun yang lebih penting bukan sekadar prestasi ringgit berbanding dolar AS, malah pergerakannya berbanding mata wang utama lain di dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi bertajuk Mengimbangi Fokus Fiskal dengan Risiko Luaran di program Invest Malaysia 2026 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Amir berkata keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia semakin jelas menerusi aliran pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) yang kukuh.
Malaysia turut mencatat paras tertinggi pelaburan diluluskan, sekali gus mencerminkan momentum pelaburan yang positif.
Menurut beliau, aliran FDI yang berterusan menjadi antara pemacu utama kepada kekuatan ringgit, sementara pelaburan domestik turut menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Perkembangan itu secara tidak langsung meningkatkan permintaan terhadap ringgit dan menyokong kestabilan mata wang negara.
“Selagi enjin-enjin ini terus bergerak, asas ekonomi masih memberikan sokongan permintaan kepada ringgit,” katanya.