Konflik Asia Barat: Perbelanjaan subsidi bahan api cecah RM7.5 bilion pada April

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Lonjakan harga minyak global akibat konflik Asia Barat menyebabkan perbelanjaan bulanan subsidi bahan api negara mencecah RM7.5 bilion pada satu ketika dalam bulan April tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbelanjaan subsidi meningkat dari kira-kira RM700 juta kepada RM5 bilion dalam beberapa bulan.
  • Penurunan harga minyak global dari sekitar AS$120 kepada AS$90-98 setong mengurangkan tekanan; anggaran subsidi kini RM3.5-4 bilion.
  • Kerajaan mengekalkan kuota dan harga BUDI MADANI, melindungi rakyat, memastikan bekalan stabil dan melaksanakan reformasi untuk kawal kos.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata perbelanjaan itu bertambah daripada kira-kira RM700 juta sebulan pada Januari dan Februari kepada RM5 bilion pada bulan berikutanya, sebelum mencecah paras tertinggi pada April.

Bagaimanapun, katanya, tekanan terhadap subsidi mula berkurangan susulan penurunan harga minyak global daripada kira-kira AS$120 setong kepada antara AS$90 hingga AS$98 setong bulan ini.

“Pada masa ini dengan harga yang semakin turun dan menyederhana, kita mungkin menjangkakan subsidi berjumlah kira-kira RM3.5 bilion hingga RM4 bilion.

“Angka-angka ini boleh diurus melalui pelbagai langkah, termasuk meningkatkan kecekapan dalam pengurusan kos,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi bertajuk Mengimbangi Fokus Fiskal dengan Risiko Luaran di program Invest Malaysia 2026 di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, buat masa ini, kerajaan mengekalkan kuota semasa dan harga bahan api bersubsidi di bawah program bantuan bahan api BUDI MADANI.

Bagaimanapun, sebarang keputusan lanjut bergantung kepada perkembangan harga minyak global pada masa hadapan.

Datuk Seri Amir memberi jaminan, kerajaan akan terus berusaha mengurangkan kesan kenaikan harga minyak terhadap rakyat selagi keadaan semasa kekal terkawal.

Keutamaan turut diberi kepada usaha memastikan bekalan bahan api tidak terganggu bagi menyokong ekonomi negara.

Menurut beliau, setakat ini Malaysia berjaya mengelakkan gangguan bekalan, sebahagian besarnya kerana negara merupakan pengeksport tenaga bersih.

Institusi negara dan syarikat minyak turut berjaya memperoleh bekalan melalui rangkaian global masing-masing.

Beliau berkata reformasi yang dilaksana sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut membantu memperkukuh keupayaan negara menghadapi kejutan luaran serta mengurus peningkatan kos subsidi.

Tanpa reformasi tersebut, kerajaan berdepan risiko kos subsidi melebihi RM10 bilion.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.