
RANTAU PANJANG, 9 Jun – Seorang lelaki tempatan dipercayai menerima bayaran RM500 bagi setiap individu untuk membawa tiga warga China tanpa dokumen perjalanan sah ke Cheras, Kuala Lumpur.
- Pasukan Gerakan Am menahan seorang pemandu di SJR Cabang Empat Salam pagi semalam.
- Pemeriksaan mendapati beberapa penumpang gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
- Dua lelaki tempatan ditahan disyaki menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada pendatang tanpa izin.
- Sebuah SUV dan dua telefon bimbit dirampas bernilai dianggarkan RM169,000; kes disiasat mengikut Seksyen 26J ATIPSOM dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
Tindakan lelaki berusia 26 tahun itu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di SJR Cabang Empat Salam, pagi semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata,pemeriksaan mendapati kenderaan itu dinaiki lima lelaki terdiri daripada dua warga tempatan dan tiga warga China dalam sebuah kereta SUV berwarna perak.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiga warga China berusia antara 26 hingga 45 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Susulan itu, dua lelaki tempatan turut ditahan kerana disyaki menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada pendatang tanpa izin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata, pemandu kenderaan berusia 26 tahun itu mengambil ketiga-tiga warga China berkenaan di tepi jalan berhampiran parkir bas Rantau Panjang sebelum membawa mereka ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, lelaki itu mengaku akan menyerahkan mereka kepada seorang individu yang tidak dikenali di Cheras dengan kadar bayaran RM500 bagi setiap orang.
“Siasatan juga mendapati kenderaan yang digunakan adalah milik pemandu terbabit, manakala seorang lagi lelaki tempatan berusia 20 tahun hanya menemaninya dalam perjalanan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, sebuah kereta SUV serta dua telefon bimbit dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM169,000.
Katanya, semua suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah D11 (ATIPSOM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.