
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Empat lelaki disyaki terbabit dalam aksi “wheelie” melibatkan tiga motosikal di sekitar ibu negara yang rakaman videonya tular di media sosial baru-baru ini, ditahan awal pagi tadi.
- Aksi wheelie dilakukan pada 6 dan 7 Jun antara pukul 2.00 hingga 2.30 pagi di beberapa lokasi sekitar ibu negara.
- Suspek disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.
- Orang ramai diminta tampil memberi maklumat kepada Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau balai polis berhampiran.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata kesemua lelaki berusia antara 17 hingga 24 tahun itu ditahan di rumah masing-masing di sekitar Lembah Kelang antara 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi.
Beliau berkata siasatan mendapati aksi berbahaya itu dilakukan pada 6 dan 7 Jun lepas antara 2 hingga 2.30 pagi.
“Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya lain serta diri sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Zamzuri berkata polis memandang serius kegiatan samseng jalanan termasuk aksi “wheelie” yang bukan sahaja mengancam keselamatan penunggang malah membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu, dua video tular di media sosial memaparkan tiga motosikal melakukan aksi berbahaya tersebut di sekitar Jalan Ampang, Jalan Raja Laut dan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.- BERNAMA