
KUALA LUMPUR, 8 Jun – Garis panduan pembangunan di Kuala Lumpur sedang dikaji semula bagi memperkukuh penyediaan ruang hijau dan kawasan tadahan air dalam usaha mengurangkan risiko banjir kilat di ibu negara.
- Kajian bertujuan memastikan keseimbangan antara nisbah plot pembangunan dan penyediaan ruang hijau yang mencukupi.
- Matlamat menjadikan Kuala Lumpur bandar 'span' yang mampu menyerap dan mengurus air hujan dengan lebih berkesan.
- Kerajaan mengenal pasti lokasi sesuai untuk kolam takungan dan menyediakan peruntukan tambahan bagi pelaksanaannya.
- Perancangan kini tidak boleh membatalkan kawasan takungan sedia ada; perlu percepat pewartaan dan bina lebih kolam takungan di tapak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata kajian itu bertujuan memastikan keseimbangan antara peningkatan nisbah plot pembangunan dan penyediaan ruang hijau yang mencukupi.
Langkah tersebut juga selaras usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar ‘span’ yang mampu menyerap dan mengurus air hujan dengan lebih berkesan.
“Semakin banyak tanah yang diserahkan oleh pemaju, semakin banyak ruang hijau dapat diwujudkan, dan ia mestilah ruang hijau yang bermakna,” katanya ketika ditemui pada program Invest Malaysia 2026 di ibu negara.
Sebelum ini, media melaporkan lokasi kerap berlaku banjir kilat di Kuala Lumpur semakin berkurangan daripada 37 lokasi pada tahun 2020 kepada 14 lokasi pada tahun ini.
Menurut Hannah lagi, kerajaan turut mengenal pasti lebih banyak lokasi yang sesuai di seluruh Kuala Lumpur untuk pembinaan kolam takungan air dan peruntukan tambahan akan disedia bagi menjayakan usaha tersebut.
“Perancangan kita di Kuala Lumpur kini tidak boleh membatalkan kawasan takungan air sedia ada. Sebaliknya, kita perlu mempercepat pewartaan baki kawasan takungan tersebut dan membina lebih banyak kolam takungan air di tapak (on-site detention),” katanya.
Ketika ini Kuala Lumpur mempunyai sembilan kolam takungan air dan dua lagi sedang dibina.
“Salah satunya di Padang Merbok, di mana padang berada di bahagian atas manakala kolam takungan terletak di bawah. Kita juga mempunyai satu lagi di Taman Botani,” katanya.