
SELAYANG, 9 Jun – Projek pembangunan semula tapak perniagaan Selayang Segar di Taman Selayang Baru yang menelan kos RM13 juta dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2027.
- Projek dilaksanakan melalui kaedah BOT selama 21 tahun dan kini berjalan mengikut jadual.
- Kerja pengosongan tapak bermula 1 Januari selepas menilai struktur uzur dan risiko keselamatan kepada peniaga serta pengunjung.
- Pemaju kemukakan pindaan pelan untuk dibentang dan diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat sebelum pembinaan dimulakan.
- Tapak akan menempatkan sekurang-kurangnya 64 premis, surau, tandas dan lebih 100 petak parkir; keutamaan sewaan kepada peniaga asal.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, projek yang dilaksanakan menerusi kaedah Build, Operate and Transfer (BOT) selama 21 tahun itu kini berjalan mengikut jadual.
Tambah beliau, kerja pengosongan tapak telah bermula sejak 1 Januari lalu selepas meneliti tapak sedia ada yang uzur serta berisiko dari aspek keselamatan kepada peniaga dan pengunjung.
“Ketika ini, pihak pemaju telah mengemukakan pindaan pelan asal yang akan dibentangkan untuk kelulusan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC). Selepas diluluskan, kerja pembinaan akan dilaksanakan segera.
“Saya optimis projek penswastaan di tapak Selayang Segar ini bukan sahaja menyuntik nafas baharu kepada kawasan setempat, malah merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan.
“Ini membuktikan komitmen jitu Majlis Perbandaran Selayang dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui penyediaan infrastruktur yang lebih moden dan selamat,” katanya pada Isnin.
Beliau yang juga ADUN Taman Templer berkata, projek itu dijangka mengambil masa antara 12 hingga 18 bulan untuk disiapkan.
Tapak itu akan menempatkan sekurang-kurangnya 64 unit premis perniagaan serta dilengkapi kemudahan surau, tandas dan lebih 100 petak parkir.
Keutamaan penyewaan akan diberikan kepada peniaga asal yang layak, manakala MPS akan terus memantau pelaksanaan projek mengikut jadual serta penyalahgunaan premis.