
PONTIAN, 9 Jun- Bantuan daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Johor serta pihak swasta berjaya membantu seorang pengusaha makanan retort dan sejuk beku di daerah ini menggandakan pendapatannya daripada RM30,000 kepada RM60,000 setahun.
- Binaan bengkel pemprosesan lengkap pada 2023 meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 300 pek makanan seminggu.
- Sumbangan mesin retort MARDI, peralatan Jabatan Pertanian, mesin salai bank dan bahan binaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar tingkatkan kecekapan operasi.
- Lemang retort berjangka hayat lebih panjang buka peluang pasaran antarabangsa; syarikat sasar pendapatan RM120,000 penghujung tahun.
Pengurus Operasi dan Perniagaan Bambijan, Muhammad Raqib Hashim berkata bantuan yang diterima membolehkan sebuah bengkel pemprosesan makanan serba lengkap dibina pada 2023, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran sehingga 300 pek makanan seminggu.
Menurut beliau, bantuan tersebut merangkumi mesin retort menerusi inisiatif Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), selain peralatan daripada Jabatan Pertanian, mesin salai yang disumbangkan sebuah institusi perbankan dan bahan binaan bengkel daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Katanya, kemudahan yang diperoleh turut membantu meningkatkan kecekapan operasi dan membuka ruang untuk memperluaskan pasaran produk ke luar negara.
“Produk yang sedia ada itu kita cuba pasarkan ke Singapura dan Brunei. Kita juga ada beberapa rancangan apabila pelajar di United Kingdom meminta kita menghantar produk ke sana kerana mereka sukar pulang ketika Hari Raya,” katanya.
Muhammad Raqib berkata antara inovasi yang dihasilkan syarikatnya ialah lemang retort yang mempunyai jangka hayat lebih panjang dan berpotensi dipasarkan ke pasaran antarabangsa.
Beliau berkata pihaknya kini menyasarkan pendapatan mencecah RM120,000 pada penghujung tahun ini menerusi penambahbaikan kualiti produk dan pembungkusan bagi memudahkan urusan pengeksportan.