
PUTRAJAYA, 9 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) terus memperkukuh agenda pendidikan berteraskan al-Quran.
Inisiatif itu bagi memastikan kanak-kanak di bawah institusi pendidikan awal KEMAS mendapat keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan pembentukan sahsiah melalui penghayatan al-Quran.
Jelasnya, ia susulan pelaksanaan Program Pra Tahfiz KEMAS sejak tiga tahun lalu telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan.
- Menekankan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan pembentukan sahsiah melalui penghayatan al-Quran.
- Program Pra Tahfiz KEMAS dilaksanakan sejak tiga tahun lalu menunjukkan hasil yang memberangsangkan.
- Tegas bahawa pendidikan tanpa akhlak akan menggugat jati diri dan nilai moral generasi.
- Program kini berkembang menjadi gerakan pembentukan generasi al-Quran, mendapat perhatian dan sokongan masyarakat.
“Hasrat ini kita bawa bersama untuk memastikan anak-anak KEMAS bukan sahaja bijak dari segi akademik, tetapi turut dibentuk dengan asas al-Quran, akhlak dan jati diri yang kukuh.
“Saya sering menyebut bahawa setinggi mana pun pendidikan seseorang, jika akhlak tidak dijaga, jati diri akan runtuh,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Pendidik KEMAS 2026 di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, Program Pra Tahfiz KEMAS bukan lagi sekadar satu kerangka pendidikan, sebaliknya telah berkembang menjadi gerakan pembentukan generasi al-Quran yang semakin mendapat perhatian dan sokongan masyarakat.