
PUTRAJAYA, 9 Jun – Tenaga pengajar Tabika KEMAS kini berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam tempoh hanya setahun menerusi pendekatan ‘micro credential’.
- Kerjasama strategik KEMAS dengan UPTM dan Kolej Poly-Tech MARA merealisasikan laluan pendidikan untuk pendidik Tabika.
- SPAK KEMAS kini diberi akreditasi, memudahkan peningkatan kelayakan akademik dan kompetensi profesional bagi warga pendidik.
- KEMAS bercadang setiap daerah ada sekurang-kurangnya sebuah Tabika Tunas Istimewa dan sebuah Tabika Smart Classroom tahun hadapan.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, peluang itu direalisasikan melalui kerjasama strategik bersama Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dan Kolej Poly-Tech MARA.
Menurut beliau, kolaborasi tersebut membolehkan Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak (SPAK) KEMAS diberikan akreditasi, sekali gus membuka laluan pendidikan lebih luas kepada warga pendidik untuk meningkatkan kelayakan akademik serta kompetensi profesional.
“Melalui kerjasama ini, pendidik Tabika yang memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Sijil SPAK KEMAS boleh melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di UPTM dalam tempoh satu tahun sahaja menerusi pendekatan micro credential,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Pendidik KEMAS 2026 di sini yang dihadiri kira-kira 600 warga pendidik dari seluruh negara.
Sejak penubuhannya pada 1971, lebih 8.41 juta kanak-kanak telah mendapat pendidikan awal melalui Tabika KEMAS, dengan sebahagian daripadanya kini muncul sebagai profesional, usahawan dan pemimpin negara.
Dalam pada itu, KEMAS optimis setiap daerah di seluruh negara akan mempunyai sekurang-kurangnya sebuah Tabika Tunas Istimewa dan sebuah Tabika Smart Classroom menjelang tahun hadapan.
Usaha menaik taraf Tabika KEMAS ke arah pendidikan inklusif serta bilik darjah pintar kini giat dilaksanakan sebagai sebahagian daripada peluasan program tersebut ke seluruh negara.