Dana hampir RM500,000 untuk bantuan, insentif akademik anak-anak warga MINDEF dan ATM

Yayasan LTAT terus memainkan peranan sebagai instrumen utama pendidikan warga pertahanan

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Kementerian Pertahanan memperuntukkan dana keseluruhan RM464,400 tahun ini kepada anak-anak warga MINDEF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), melalui bantuan dan insentif akademik.

RINGKASAN BERITA AI
  • RM166,000 bagi bantuan universiti dalam dan luar negara kepada penerima tertentu; RM298,400 sebagai insentif kepada 211 pelajar cemerlang SPM 2025.
  • Yayasan LTAT terus jadi instrumen utama pendidikan warga pertahanan melalui Program Sentuhan Elit SPM, e-Perkasa SPM, biasiswa dan kebolehpasaran graduan.
  • Program pendidikan STEM diperkenalkan bagi memupuk minat awal dalam sains dan teknologi dalam kalangan anak anggota ATM.
  • MINDEF membuka ruang kepada USM untuk pendekatan berkesan; projek perintis di sekolah kem utara akan diperluas ke sekolah kem seluruh negara.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, daripada jumlah itu, RM166,000 diperuntukkan bagi Bantuan Universiti Awam kepada 32 penerima dan Bantuan Universiti Luar Negara kepada 5 orang, manakala RM298,400 lagi disalurkan sebagai insentif kepada pelajar cemerlang SPM 2025 seramai 211 orang.

“Yayasan LTAT terus memainkan peranan sebagai instrumen utama pendidikan warga pertahanan menerusi pelbagai program termasuk Program Sentuhan Elit SPM, e-Perkasa SPM, bantuan universiti, biasiswa serta program kebolehpasaran graduan,”katanya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) 2026.

Beliau turut memaklumkan, program pendidikan STEM turut diperkenal, tahun ini bertujuan memupuk minat awal dalam bidang sains dan teknologi khususnya dalam kalangan anak-anak anggota ATM.

“Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan sebuah universiti yang mempunyai kepakaran dalam bidang sains. Oleh itu, kepakaran yang dimiliki USM diyakini berupaya meningkatkan minat pelajar kepada bidang sains.

“Justeru, MINDEF membuka ruang kepada USM bagi membawa pendekatan yang lebih berkesan ke lapangan bagi memupuk minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“MINDEF telah melaksanakan projek perintis di sekolah-sekolah dalam kem di utara Semenanjung dan sedia memperluaskannya di sekolah-sekolah dalam kem di seluruh negara,”jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.