KEMAS perkenal laluan ijazah setahun untuk pendidik tabika

Ketua Pengarah (KEMAS), Datuk Mohd Hanafiah Man/Foto FB KEMAS

PUTRAJAYA, 9 Jun – Tenaga pengajar Tabika KEMAS kini berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam tempoh hanya setahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • KEMAS bekerjasama dengan UPTM dan Kolej Poly-Tech MARA untuk mengakreditasi Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak (SPAK).
  • Laluan pendidikan baharu membuka peluang pendidik Tabika meningkatkan kelayakan akademik serta kompetensi profesional menerusi pendekatan mikro-credential.
  • Usaha menaik taraf Tabika ke pendidikan inklusif, dengan Tabika Tunas Istimewa dan Tabika Smart Classroom di setiap daerah menjelang tahun hadapan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, peluang itu direalisasikan melalui kerjasama strategik bersama Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dan Kolej Poly-Tech MARA.

Menurut beliau, kerjasama tersebut membolehkan Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak (SPAK) KEMAS diberikan akreditasi.

Peluang itu sekali gus membuka laluan pendidikan lebih luas kepada warga pendidik untuk meningkatkan kelayakan akademik serta kompetensi profesional.

“Melalui kerjasama ini, pendidik Tabika yang memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Sijil SPAK KEMAS boleh melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di UPTM dalam tempoh satu tahun sahaja menerusi pendekatan micro credential,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Pendidik KEMAS 2026 hari ini.

Sejak penubuhannya pada 1971, lebih 8.41 juta kanak-kanak telah mendapat pendidikan awal melalui Tabika KEMAS.

Tambah beliau, sebahagian daripadanya kini muncul sebagai profesional, usahawan dan pemimpin negara.

Dalam pada itu, KEMAS optimis setiap daerah di seluruh negara akan mempunyai sekurang-kurangnya sebuah Tabika Tunas Istimewa dan sebuah Tabika Smart Classroom menjelang tahun hadapan.

Usaha menaik taraf Tabika KEMAS ke arah pendidikan inklusif serta bilik darjah pintar kini giat dilaksanakan ke seluruh negara.

Sambutan Hari Pendidik KEMAS itu dihadiri kira-kira 600 warga pendidik KEMAS dari seluruh negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.