Pembangunan bandar perlu seimbang dengan alam sekitar

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming/Foto RTM

AMPANG, 9 Jun – Urbanisasi mampan kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan wajib dalam memastikan pembangunan negara kekal seimbang dengan pemeliharaan alam sekitar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembangunan perumahan perlu mengutamakan kelestarian bandar bagi mengekalkan keseimbangan dengan alam sekitar.
  • Kerajaan menyasarkan mengekalkan sekurang-kurangnya 51 peratus kawasan hijau negara.
  • Projek Botanik Point dijadikan penanda aras pembangunan yang mengimbangi keperluan bandar dan pemeliharaan ekosistem semula jadi.
  • KPKT mempergiat inisiatif hijau: lebih 115 juta pokok ditanam, 18 loji sisa kepada tenaga dirancang, PRR baharu dilengkapi panel solar.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pembangunan perumahan perlu memberi keutamaan kepada kelestarian bandar.

Langkah itu sejajar dengan sasaran kerajaan mengekalkan sekurang-kurangnya 51 peratus kawasan hijau negara.

“Malaysia kini berada pada tahap urbanisasi yang pesat. Pada tahun 1970, kadar urbanisasi negara hanya sekitar 28 peratus, namun kini telah meningkat kepada 78 peratus dan dijangka mencapai 85 peratus menjelang 2040. Maka urbanisasi mampan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan wajib,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran projek pembangunan kediaman Botanik Point di Taman Ulu Kelang, di sini, hari ini.

Tambah beliau, projek Botanik Point wajar dijadikan penanda aras pembangunan masa depan kerana mengimbangi keperluan pembangunan bandar dengan pemeliharaan ekosistem semula jadi.

Dalam pada itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus mempergiat pelbagai inisiatif ke arah bandar mampan, termasuk kejayaan melepasi sasaran penanaman 100 juta pokok dengan lebih 115 juta pokok telah ditanam setakat ini.

Selain itu, kerajaan turut menyasarkan pembinaan 18 loji waste-to-energy menjelang 2040 bagi menyokong peralihan tenaga negara.

Pada masa sama, semua Projek Residensi Rakyat (PRR) baharu akan dilengkapi panel solar sebagai usaha memperluas manfaat pembangunan hijau kepada rakyat secara menyeluruh.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.