Gangguan elektrik di KK Balok, kerja penggantian komponen dijalankan

Klinik Kesihatan Balok

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Kerja-kerja penggantian komponen yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik di Klinik Kesihatan Balok telah dijalankan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Punca gangguan: kerosakan pemutus litar bocor bumi (ELCB) pada kotak pengagihan elektrik.
  • Gangguan menjejaskan petugas kesihatan, pesakit dan penduduk setempat mendapatkan perkhidmatan klinik.
  • Berhubung dengan KKM dan ICU JPM untuk menjalankan penilaian menyeluruh bagi keperluan menaik taraf infrastruktur.
  • Penghargaan tinggi kepada petugas klinik yang komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada komuniti.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi memaklumkan bekalan eletrik terputus berpunca daripada kerosakan pemutus litar bocor bumi (ELCB) pada kotak pengagihan elektrik (DB Box).

“Saya mengambil maklum mengenai masalah ketiadaan bekalan elektrik yang berlaku di Klinik Kesihatan Balok, Kuantan, yang telah menimbulkan kesulitan kepada petugas kesihatan, pesakit serta penduduk setempat yang mendapatkan perkhidmatan di fasiliti tersebut”, katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata bagi memastikan kejadian itu tidak berulang, beliau telah berhubung dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) agar satu penilaian menyeluruh dijalankan untuk mengenal pasti keperluan menaik taraf kemudahan dan infrastruktur di klinik kesihatan tersebut.

Langkah itu bagi memastikan fasiliti kesihatan tersebut berada dalam keadaan yang lebih baik dan mampu memenuhi keperluan masyarakat untuk jangka masa panjang.

“Saya akan terus mengikuti perkembangan perkara ini dan memastikan segala tindakan yang sewajarnya dapat diselaraskan bersama pihak-pihak berkaitan demi kepentingan rakyat dan komuniti setempat”, katanya.

Dalam pada itu, Datuk Ahmad Farhan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh petugas kesihatan Klinik Kesihatan Balok yang terus komited menjalankan amanah dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan penduduk sekitar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.