Program KL-YES tingkatkan keyakinan, kemahiran pelajar Malaysia

Foto Kedutaan AS di Malaysia

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Pendedahan kepada budaya dan persekitaran pembelajaran di Amerika Syarikat (AS) menerusi Program Pertukaran Pelajar Kennedy-Lugar Youth Exchange and Study (KL-YES) berjaya memberi manfaat besar kepada 23 pelajar Malaysia yang menyertainya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peserta program menunjukkan peningkatan penguasaan bahasa Inggeris dan keyakinan diri, terutamanya pelajar dari kawasan luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah.
  • Peserta ditempatkan bersama keluarga angkat dan mengikuti sesi persekolahan di Amerika Syarikat, memperdalam pengalaman hidup serta pembelajaran.
  • Program membuka perspektif antarabangsa dan memperluas kefahaman perbezaan budaya serta agama melalui interaksi dengan masyarakat pelbagai latar belakang.

Mereka bukan sahaja dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan membina keyakinan diri, malah memperluas perspektif antarabangsa.

Sepanjang program selama kira-kira lima bulan, mereka ditempatkan bersama keluarga angkat warga tempatan dan mengikuti sesi persekolahan di negara tersebut.

Menurut Pengarah Nasional Yayasan AFS Antarabudaya Malaysia, Kuhan Kandiah Chelvanathan, perubahan positif dapat dilihat dalam kalangan peserta sepanjang mengikuti program berkenaan.

“Kita dapat lihat ramai pelajar semakin yakin. Ada yang sebelum ini malu bertutur dalam bahasa Inggeris, khususnya dari kawasan luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah, namun mereka menunjukkan perubahan yang baik,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis graduasi bagi program berkenaan di sini hari ini, yang turut dihadiri wakil Kedutaan AS di Malaysia, yayasan berkenaan dan ahli keluarga peserta.

Kesemua peserta terlibat dipilih menyertai program tersebut selepas melalui proses saringan peringkat kebangsaan.

Mereka selamat kembali ke tanah air pada Sabtu, selepas berangkat ke AS pada Januari.

Bagi peserta dari Kuala Lumpur, Ng Qin Yi, program tersebut memberi peluang untuk merasai sendiri kehidupan dan budaya masyarakat di AS.

“Saya syorkan lebih ramai pelajar menyertai program ini kerana ia merupakan peluang yang sangat jarang untuk diperoleh. Kita dapat belajar mengenai kehidupan di negara tersebut,” katanya.

Peserta dari Terengganu, Muhammad Nafli Zaharin pula berkata, kemahiran berbahasa Inggerisnya semakin meningkat.

“Sebelum ini saya takut nak bercakap dalam bahasa Inggeris, tetapi dengan bantuan peserta lain, saya dapat meningkatkan kemahiran,” jelasnya.

Sementara itu, peserta dari Pahang Hariz Adib Aniq Zora berkata, pengalaman berinteraksi dengan masyarakat pelbagai latar belakang membuka ruang untuk memahami perbezaan budaya dan agama daripada perspektif lebih luas.

“Saya rasa cara pemikiran saya lebih terbuka sebab saya berasal daripada Sekolah Maahad Tahfiz Pahang yang kebanyakannya semua pelajar berbangsa Melayu dan beragama Islam, tetapi apabila di AS, saya berpeluang bertemu dengan pelbagai bangsa dan agama serta memahami sesuatu daripada perspektif yang berbeza,” katanya.

Program KL-YES merupakan inisiatif Biro Pendidikan dan Hal Ehwal Kebudayaan kerajaan AS yang memberi peluang kepada pelajar sekolah menengah untuk tinggal dan belajar di negara itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.