Institusi pondok diperkasa melalui kerjasama strategik

FOTO RTM

KUALA NERANG, 8 Jun – Kerajaan sedang berusaha memperkukuh dan memperkasakan institusi pondok di seluruh negara melalui kerjasama strategik antara agensi agama serta pengurusan pondok bagi membangunkan satu kerangka pendidikan yang lebih dinamik dan progresif.

RINGKASAN BERITA AI
  • JAKIM dan YADIM bekerjasama dengan institusi pondok untuk membangunkan kerangka pendidikan yang lebih dinamik dan progresif.
  • Peruntukan penyelenggaraan dan naik taraf sekolah pondok, agama dan tahfiz dinaikkan daripada RM150 juta kepada RM200 juta.
  • Inisiatif ini adalah sebahagian komitmen kerajaan menurut pengumuman Perdana Menteri demi kebajikan institusi pendidikan Islam.
  • Darul Hikmah, ditubuhkan 2019, menawarkan penguasaan Bahasa Arab dan pembangunan ilmu Islam yang berkualiti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata fokus utama ketika ini ialah memperkukuh ekosistem pendidikan
pondok di Malaysia.

Beliau berkata kerajaan melihat institusi pondok berpotensi besar untuk terus berkembang dan memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi berilmu serta berakhlak.

“Sekarang ini, apa yang kita lakukan adalah bersama-sama dengan institusi pondok dan guru-guru di seluruh negara, termasuk di Kedah. Insya-Allah, kita mendengar dan juga mengenal pasti keperluan mereka.

“Dalam masa sama, kita membangunkan kerangka pondok yang perlu dilaksanakan secara bersama. Ketika ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan institusi pondok bekerjasama untuk membangunkan satu kerangka yang lebih dinamik dan progresif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Pusat Penyelarasan Daie MADANI Kedah dan Peluncuran Daurah Kitab Turath Darul Hikmah 2026 di sini.

Selain itu Dr Zulkifli berkata kerajaan turut meningkatkan peruntukan menyelenggara dan menaik taraf bagi sekolah pondok, sekolah agama dan institusi tahfiz daripada RM150 juta pada 2025 kepada RM200 juta tahun ini.

Inisiatif itu antara komitmen kerajaan seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan kebajikan dan pembangunan
institusi pendidikan Islam terus diberi perhatian.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan sumbangan kepada beberapa insitusi pondok

Darul Hikmah yang baharu ditubuhkan pada 2019, menawarkan program pendidikan yang baik khususnya dalam penguasaan Bahasa Arab dan pembangunan
ilmu Islam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.