Nik Sazali dilantik sebagai Presiden dan CEO Kumpulan SIRIM

Nik Sazali Nik Hussin

KUALA LUMPUR, 8 Jun – SIRIM Berhad melantik Nik Sazali Nik Hussin sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan, berkuat kuasa serta-merta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menjalankan tugas sebagai Pemangku Presiden dan CEO kumpulan sejak Ogos 2025.
  • Sebelum itu CEO SIRIM Academy sejak Mac 2023, mengetuai inisiatif transformasi dan pertumbuhan organisasi latihan serta perundingan.
  • Pelantikan dianggap tepat ketika SIRIM memasuki dekad keenam, dengan tumpuan memperkukuh keupayaan industri untuk inovasi, persaingan dan pertumbuhan.
  • Mempunyai hampir tiga dekad pengalaman kepimpinan dalam perbankan komersial, pendidikan tinggi, perundingan pengurusan dan syarikat berkaitan kerajaan.

SIRIM menerusi kenyataan memaklumkan, sebelum pelantikan berkenaan, Nik Sazali menjalankan tugas sebagai Pemangku Presiden dan CEO kumpulan sejak Ogos 2025.

Beliau sebelum ini memegang jawatan CEO SIRIM Academy Sdn Bhd sejak Mac 2023, menerajui pelbagai inisiatif transformasi dan pertumbuhan yang memperkukuh kedudukan organisasi itu sebagai penyedia utama perkhidmatan latihan, perundingan dan pembangunan keupayaan.

“Di bawah kepimpinan beliau, SIRIM Academy memperluaskan peranannya dalam menyokong kemajuan industri dalam bidang kualiti, teknologi, kemampanan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SIRIM, Datuk Dr Khairol Anuar Mohamad Tawi berkata, pelantikan Nik Sazali hadir pada masa amat penting ketika SIRIM memasuki dekad keenam penubuhannya, dengan tumpuan berterusan untuk memperkukuhkan keupayaan industri Malaysia dalam berinovasi, bersaing dan berkembang.

“Pelantikan beliau mencerminkan keyakinan Lembaga Pengarah terhadap kepimpinan berasaskan kekuatan dan tanggungjawab institusi SIRIM, di samping kekal responsif terhadap jangkaan yang sentiasa berkembang daripada pihak industri dan pemegang taruh kerajaan,” katanya.

Nik Sazali juga mempunyai pengetahuan institusi yang luas berkaitan SIRIM serta hampir tiga dekad pengalaman kepimpinan merangkumi sektor perbankan komersial, pendidikan tinggi, perundingan pengurusan dan syarikat berkaitan kerajaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.