RTM ungguli kategori utama Anugerah Media Agrobank 2026

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjaya mengungguli beberapa kategori utama pada Anugerah Media Agrobank 2026, sekali gus membuktikan keupayaannya menghasilkan kandungan berkualiti dalam bidang pertanian, agromakanan serta teknologi dan inovasi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menguasai ketiga-tiga kedudukan teratas kategori Dokumentari Televisyen dan Video Dalam Talian.
  • Rozihan Mohd Raji dinobatkan pemenang pertama menerusi dokumentari "Dia: Shahrizal Denci".
  • Nor Ain Abu Bakar raih tempat kedua dan Noor Sharidah Shaffie tempat ketiga dalam kategori Radio.
  • Haniza Mohamed Hanippon menang tempat pertama Anugerah Kewartawanan Teknologi dan Digital menerusi "Episod 9: Kehebatan Mekgeopadi".

Pencapaian paling menonjol diraih dalam kategori Anugerah Media Penyiaran Televisyen dan Video Dalam Talian (Dokumentari) apabila RTM menguasai ketiga-tiga kedudukan teratas.

Tempat pertama dimenangi Rozihan Mohd Raji menerusi dokumentari “Dia: Shahrizal Denci”, diikuti Wahidah Abdullah @ Nadus dan Baharulah Baba daripada RTM Sabah menerusi “Berbudi pada Tanah….Onsoi” di tempat kedua, manakala Ahmad Muies Abdul Gapar menduduki tempat ketiga menerusi karya “Agrotek: Agro Bayu”.

Dalam kategori Anugerah Media Radio pula, Nor Ain Abu Bakar daripada RTM Perak meraih tempat kedua menerusi laporan “Keterjaminan Makanan: Dari Ladang ke Sekuriti Makanan”.

Sementara itu, Noor Sharidah Shaffie mengharumkan nama RTM apabila meraih tempat ketiga menerusi karya “Di Sebalik Polibeg: Kisah Ketabahan Petani Muda”.

RTM turut mencatat kejayaan dalam kategori Anugerah Kewartawanan Teknologi dan Digital Agrobank apabila Haniza Mohamed Hanippon dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama menerusi karya “Episod 9: Kehebatan Mekgeopadi”.

Kejayaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan RTM dalam menghasilkan kandungan berimpak tinggi yang memberi fokus kepada pembangunan sektor pertanian dan agromakanan negara, di samping mengangkat peranan teknologi serta inovasi untuk manfaat masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.