
PUTRAJAYA, 8 Jun – Cadangan pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dijangka menjadi antara agenda yang akan diberi perhatian pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 yang dijadual bermula 22 Jun ini.
- Pindaan Akta 588 bertujuan meningkatkan tahap keselamatan internet negara.
- Pindaan juga memperkasa kualiti perkhidmatan digital untuk manfaat rakyat.
- Langkah diselaraskan dengan cadangan KPDN dan pindaan akta suruhanjaya, perlu tindakan segera.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pindaan berkenaan bertujuan meningkatkan tahap keselamatan internet serta memperkasa kualiti perkhidmatan digital negara.
“Sebab banyak daripada perkara-perkara yang sedang kita teliti termasuk pindaan Akta 588 untuk diselaraskan dengan cadangan-cadangan di pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pindaan kepada akta suruhanjaya yang perlu kita usahakan segera.
“Jadi kita serahkan untuk mengemudi dan saya harap dengan beberapa tindakan segera, bukan sahaja internet menjadi lebih pantas dan selamat, malah rakyat mendapat manfaat daripada seluruh usaha Kementerian Komunikasi dan Kerajaan MADANI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga kementerian bersempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.