
LAHAD DATU, 8 Jun – Keadaan di Lahad Datu masih selamat dan tiada kejadian tidak diingini dilaporkan setakat pukul 10.37 pagi ini susulan amaran tsunami yang dikeluarkan selepas gempa bumi kuat melanda Mindanao, Filipina awal pagi tadi.
- JPBD Lahad Datu terus memantau perkembangan bagi memastikan keselamatan penduduk.
- Pemantauan dipertingkatkan di perairan sekitar Lahad Datu termasuk daerah kecil Tungku.
- MET Malaysia jangka kesan gelombang tsunami antara 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.
- Ibu bapa dibenarkan ambil anak; penduduk pantai dinasihatkan berwaspada dan patuhi arahan pihak berkuasa.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Lahad Datu, Firuz Izualdeen Mohd Dzul berkata, pihaknya terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.
Beliau berkata pemantauan turut dipertingkatkan di kawasan perairan sekitar Lahad Datu termasuk daerah kecil Tungku susulan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa.
“Setakat pukul 10.37 pagi, keadaan di Lahad Datu masih terkawal dan tiada sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan.
“Pasukan keselamatan juga telah diatur gerak ke beberapa lokasi strategik berhampiran kawasan pantai bagi memperkukuhkan pemantauan serta tindakan awal sekiranya diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan kawasan berkenaan berdepan kesan gelombang tsunami antara pukul 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Firuz turut memohon kerjasama pihak sekolah supaya membenarkan ibu bapa membawa pulang anak-anak mereka sebagai langkah berjaga-jaga.
Beliau berkata pihak sekolah juga diminta memastikan keselamatan dan kebajikan murid yang masih berada di kawasan sekolah sentiasa diberi keutamaan.
Pada masa sama, penduduk khususnya yang tinggal berhampiran kawasan pantai dan laut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Katanya, JPBD Lahad Datu akan terus memantau situasi semasa dan menyalurkan maklumat terkini kepada orang ramai.